Jangan ambil masa lama tangguh takwim sekolah

0
157

PENANGGUHAN cadangan sesi baharu persekolahan yang disaran kembali ke bulan Januari diharap tidak mengambil masa lama.

Meskipun ia memerlukan kajian bagi meminimumkan impak kepada pihak-pihak berkaitan namun ia bukanlah membabitkan isu yang besar. Sebaliknya fokus Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya tertumpu kepada silibus pembelajaran.

KPM sebelum ini menyebut mengambil maklum cadangan untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada Januari. Namun ia cadangan itu ditangguhkan dengan mengambil kira kebajikan guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata secara desakan untuk mengembalikan sesi persekolahan pada bulan Januari dianggap wajar.

Hal ini kata Anuar disebabkan kita sudah mengamalkan sistem persekolahan bermula Januari dalam tempoh yang lama.

Apatah lagi sejak dahulu sekolah bercuti hujung tahun disebabkan dalam tempoh itu umumnya di sesetengah negeri dilanda tengkujuh dan banjir. Justeru ia sudah menjadi kelaziman sebahagian masyarakat.

“Jadi pada saya, lebih baik dimulakan pada bulan Januari kerana itu yang dipinta ibu bapa dan guru.

“Walaupun ia tidak membabitkan isu yang terlalu besar, tetapi dalam konteks ini ia lebih bertujuan untuk memudahkan dan menyelaraskan perancangan bukan sahaja ibu bapa malah pihak guru sendiri,” katanya ketika dihubungi BH.

Justeru kata Anuar, silibus pelajaran dan sesi peperiksaan sebaik-baiknya dihabiskan pada tahun yang sama. Namun, adalah tidak adil buat murid Tingkatan Empat dan Lima jika keputusan memulakan sesi persekolahan pada Januari dilakukan secara tiba-tiba.

Tegas Anuar dalam hal ini, penyelesaian isu berkenaan bukan mudah. Hal ini disebabkan jika sesi persekolahan dikembalikan seperti asal ia akan membuatkan tempoh pembelajaran ‘ketinggalan’ tiga bulan dan dikhuatiri berlaku keciciran dalam kalangan murid melainkan cuti sekolah dipendekkan.

“Namun langkah ke arah itu boleh dilaksanakan secara berperingkat atas persetujuan bersama.

“Ia tidak semestinya membabitkan semua murid, jadi pada masa yang sama memberi ruang kepada ibu-bapa untuk lebih bersedia pada masa depan,” katanya.

Anuar berkata, beliau melihat perubahan kembali sesi persekolahan itu tidak menjadi masalah jika hanya membabitkan murid-murid tahap pertama di sekolah rendah. Namun terpulanglah kepada pertimbangan KPM dalam memutuskan langkah penyelesaian terbaik.

Tegasnya, apa yang paling utama ketika ini adalah KPM harus menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula silibus khususnya untuk murid Tahun Satu, Dua dan Tiga yang dilihat tidak bersesuaian dengan mereka.

“Seboleh mungkin kita mengharapkan jawatankuasa semakan silibus itu ditubuhkan secepatnya supaya pengesyoran bersesuaian dapat dilakukan dengan kadar segera.

“Ia penting supaya tidak mengganggu penjadualan pembelajaran anak-anak kita pada masa depan.

“Ini disebabkan pandemik sebelum ini menjejaskan pembelajaran mereka. Jadi, murid ini harus dipulihkan terlebih dahulu terutamanya membabitkan kemahiran menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira jadi silibus yang dirangka seharusnya tidak menghilangkan motivasi mereka untuk belajar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Malaysia Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hassan, berkata memang diakui usaha untuk mengembalikan sesi persekolahan seperti sebelum ini memerlukan masa untuk diselaraskan.

“Langkah ini harus dilaksanakan secara berperingkat dan tidak perlu tergesa-gesa. Selain memerlukan maklum balas serta sesi libat urus menyeluruh dalam kalangan pelbagai pihak membabitkan persatuan-persatuan guru dan ibu bapa.

“Ibu bapa dan pihak sekolah juga seharusnya mempunyai hubungan dan kerjasama yang erat supaya apa-apa maklumat berkaitan pembukaan sekolah dapat diterima dan dirancang dengan baik supaya sesi persekolahan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu bagi seorang bapa, Mohamad Rozi Zaini, 41, berkata beliau memahami perubahan membabitkan takwim sekolah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Namun yang lebih penting adalah peranan aktif ibu bapa dalam menyokong rutin pembelajaran anak-anak.

“Tempoh cuti hujung anak-anak boleh gunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Jadi saya terbuka dalam hal ini. Jika sesi persekolahan bermula Mac, kita sudah ada pengalaman sebelum ini dan bukannya anak-anak langsung tidak terus bersekolah,” katanya.

Bagi seorang ibu Farha Saat, 39, berkata keluarganya agak terkesan apabila yuran sekolah tadika dan tambang van sekolah tetap perlu dibayar penuh sebulan biarpun sesi persekolahan hanya berlangsung selama sembilan hari pada Disember ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia enam tahun hingga 12 tahun sangat berharap pihak KPM dapat mempertimbangkan isu-isu sedemikian dalam penyusunan takwim sekolah pada tahun-tahun berikutnya.

“Saya sendiri perlu membayar RM200 yuran van untuk dua anak yang bersekolah rendah dan sejujurnya memang rasa membebankan walaupun kami faham pengusaha van sekolah juga mempunyai komitmen sara hidup termasuk bayaran ansuran pinjaman kenderaan mereka.

“Jadi kalau sesi persekolahan kembali seperti dahulu sekurang-kurangnya kami tidak perlu lagi menanggung kos sebegitu sebaliknya fokus melakukan persediaan persekolahan sesi baharu,” katanya memetik BH Online.

Sebelum ini susulan penularan COVID-19, sesi persekolahan baharu bagi tahun ini dianjak ke bulan Mac dan ia dikekalkan bagi takwim 2023. KPM menyebut pelbagai faktor diambil kira dalam penyediaan takwim persekolahan termasuk kebarangkalian banjir di negeri-negeri Pantai Timur pada hujung tahun susulan musim Monsun Timur Laut.

Anjakan takwim persekolahan itu menyaksikan murid kembali ke sekolah dan berada di kelas yang sama selepas bercuti selama tiga minggu bermula 10 Disember lalu dan hanya akan naik darjah atau tingkatan pada Mac 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here