Ronald Kiandee dilantik Ketua Bersatu Sabah – Muhyiddin

0
177

NAIB Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) Sabah dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri yang baharu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun bekas Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

Muhyiddin menjelaskan, badan pimpinan negeri, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan Bersatu di negeri Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT Bersatu yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

“Sehubungan itu, sukacita saya ingin mengumumkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, Ronald bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT Bersatu dan MT PN.

Semalam, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan beliau dan barisan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Namun Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran kekal bersama Bersatu di Sabah walaupun kepimpinan negeri itu bertindak keluar parti hari ini.

Kemelut Bersatu Sabah dengan Ronald tercetus apabila beliau tidak dicalonkan sebagai calon GRS pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Beluran susulan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional.

Ekoran itu, kerusi Parlimen Beluran diberikan kepada calon BN, Benedict Asmat hingga memaksa Ronald bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Namun, Ronald berjaya menenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 1,594 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here