Bung, Zizie gagal semak keputusan perintahkan mereka bela diri

0
208

AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How terhadap permohonan semakan yang difailkan pasangan itu.

Azhar berkata, beliau membenarkan bantahan awal pendakwaan selepas meneliti hujahan yang dikemukakan kedua-dua belah pihak, lapor BH Online.

Dalam prosiding hari ini, peguam M Athimulan hadir bagi pihak Bung Moktar dan Datuk K Kumaraendran untuk Zizie Izette.

Pada prosiding 17 Oktober lalu, Chin How memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya mengemukakan bantahan terhadap permohonan pasangan idengan alasan semakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

Menurut Chin How, kaedah pemfailan notis usul yang dibuat adalah salah dan bertentangan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

Pada 2 September lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah diperintah membela diri atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga perlu membela diri atas tuduhan ketiga iaitu menerima suapan wang tunai RM335,500 atas sebab sama.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here