Polis terima 4 laporan dakwaan murid kena cekik, tolak di kem motivasi

0
156

POLIS menerima empat laporan daripada ibu bapa murid yang mendakwa anak mereka dikasari ketika menghadiri kem motivasi di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Serdang A Anbalagan, berkata pihaknya menerima laporan pada Selasa lalu berhubung dakwaan murid dikenakan tindakan fizikal seperti disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, dihukum melakukan ketuk ketampi hanya kerana berbual serta dipukul dengan penyapu.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“Semua pihak termasuk penganjur kem motivasi akan dipanggil bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya lapor FMT.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, kira-kira 60 murid Tahun Lima yang menghadiri kem dua hari dikendalikan sebuah badan bukan kerajaan, pulang ke rumah dalam keadaan lemah dan menangis selepas menyertai kem motivasi tersebut.

Peserta kem itu turut mendakwa fasilitator berkenaan turut melakukan kekasaran dengan mencekik dan menolak ke dinding serta dipukul dengan penyapu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here