DUN Johor ucap tahniah kepada PN, BN menang Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

0
212

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mengucapkan tahniah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain atas kemenangan masing-masing di kerusi Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum sesi soal jawab pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor hari ini.

Azman memenangi kerusi Parlimen Padang Serai manakala Mohd Johari mempertahan kerusi DUN Tioman.

“Dewan yang mulia ini merakamkan setinggi tahniah kepada calon dan parti yang menang pada PRU15 di Padang Serai dan Tioman,” kata Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit.

PRU15 semalam menyaksikan Azman (PN-Bersatu) menang di Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi menewaskan Datuk C. Sivaraj (BN-MIC), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Dr Mohamad Sofee Razak (PH-PKR), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan).

Mohd Johari pula mempertahan DUN Tioman dengan majoriti 573 undi menewaskan Nor Idayu Hashim (PN-PAS), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH-Amanah) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili PN di DUN Tioman.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan, manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 Nov lepas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here