PN rampas kerusi Padang Serai dengan majoriti 16,260

0
215

PERIKATAN Nasional (PN) rampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilangsungkan siang tadi.

BH Online melaporkan calon PN, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Pertembungan enam penjuru di kerusi berkenaan turut membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraajh, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Hamzah Abd Rahman; calon Parti Warisan (WARISAN), Mohd Bakhri Hashim dan calon Bebas, iaitu Sreanandha Rao.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi dan Sivaraj yang memberi laluan kepada calon PH berjaya meraih 2,983 undi.

Tiga lagi calon, Hamzah memperoleh 424 undi, Mohd Bakhri pula mendapat 149 undi, manakala Sreanandha dengan 846 undi.

Selain Sivaraj, Mohd Bakhri juga sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan dan menyokong calon PH, namun berdasarkan peraturan pilihan raya, nama mereka kekal pada kertas undi kerana pencalonan telah disahkan.

Peratus pengundian bagi Parlimen adalah sejumlah 68.95 peratus, menjadikan keseluruhan peratusan pengundian bagi Dewan Rakyat setelah selesai urusan PRU15 sepenuhnya pada hari ini adalah 74.71 peratus.

Azman adalah bekas guru dan mesra dipanggil Cikgu Man, juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas selama dua penggal sejak memenanginya pada PRU13 dan mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU14 atas tiket PKR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here