Anak, menantu Zahid dilantik dalam syarikat senarai awam cetus kebimbangan

0
179

PELANTIKAN semula Nurulhidayah Ahmad Zahid sebagai pengerusi MQ Technology Bhd (MQ Tech), dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai presiden Jiankun International Bhd berkuat-kuasa 5 Disember lalu mengundang reaksi negatif masyarakat yang meminta kerajaan atau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meneliti perkara tersebut.

Kebimbangan itu diluahkan orang ramai apabila lantikan kedua-dua individu terbabit akan mencetuskan konflik kepentingan memandangkan mereka ialah anak dan menantu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ironinya, lantikan mereka diumumkan kedua-dua syarikat senarai awan berkenaan apabila Zahid memulakan tugas sebagai timbalan perdana menteri di Putrajaya Isnin lalu.

“Yang peliknya, lantikan dilakukan selepas proses angkat sumpah Zahid Hamidi sebagai TPM,” kata pengguna @najibfazail yang turut memuat naik tangkap layar pengumuman dalam Bursa Malaysia oleh kedua-dua syarikat terbabit di akaun Twitter beliau.

Pengguna Facebook Muhammad Uzair turut menyindir lantikan ini apabila ia dilaporkan di media tempatan dengan berkata: “Dia anak TPM. Jangan pertikaikan. Kalau ayah kita TPM kita juga boleh dapat.”

Nurulhidayah sebelum ini memegang jawatan naib pengerusi MQ Tech pada 2 Jun lalu manakala Lim Char Boo dilantik sebagai pengerusi pada 29 November 2019 susulan lantikan semula daripada jawaptan pengarah bebas.

Lantikan semula Saiful pula adalah selepas beliau dilantik sebagai timbalan pengerusi eksekutif dua bulan lalu.

Beliau kini memiliki pegangan 21 juta saham atau 8.58% kepentingan dalam Jiankun selepas muncul sebagai pemegang saham utama pada Ogos lalu.

Pada Isnin, saham Jiankun mencecah paras tinggi setahun apabila melonjak 13% kepada 29.5 sen manakala saham MQ Tech pula meningkat 27.27% atau 1.5 sen kepada 7 sen.

Bagaimanapun, prestasi saham kedua-dua syarikat itu menyusut sedikit hari ini apabila Jiankun ditutup menyusut 7.14% atau 2 sen kepada 26 sen manakala saham MQ Tech menurun 7.14% atau 0.5 sen kepada 6.5 sen.

Ekoran daripada lantikan ini, orang ramai terutama pengguna media sosial turut menggesa Anwar supaya memastikan syarikat itu tidak menerima layanan “istimewa” daripada kerajaan.

“Datuk Seri @anwaribrahim, sila ambil tindakan segera berhubung perkara ini,” kata pengguna Twitter @AhmadFakhrul menerusi komen yang dimuat naik terhadap satu posting memaparkan lantikan Nurulhidayah dalam pengumuman Bursa Malaysia oleh MQ Tech.

“@anwaribrahim, baik tunaikan janji dalam menghapuskan amalan rasuah dan salah laku. Jangan sampai masyarakat umum nampak syarikat-syarikat ini menerima kontrak daripada kerajaan,” kata pengguna @lfc_eddie.

“Salam @rafiziramli @anwaribrahim tegoq sikit TPM tu… Jangan dok kalut buat perangai Umno sangat,” kata pengguna @MaisarraAnuar pada posting yang sama.

Selain itu, seorang lagi pengguna Twitter @zach1ZA turut meluahkan kekecewaan apabila lantikan tersebut memberi gambaran pembaharuan yang ingin dilakukan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Bercakap dengan MalaysiaNow, pakar ekonomi daripada Putra Business School Razman Abdul Latiff menjelaskan pelantikan Nurulhidayah sebagai Pengerusi MQ Tech manakala Saiful sebagai presiden Jiankun tidak menjadi isu jika kedua-dua syarikat tersebut tidak mempunyai pegangan saham oleh institusi kerajaan seperti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) atau Khazanah.

Katanya, pelantikan tersebut juga akan menyukarkan kedua-dua syarikat sekiranya ingin mendapatkan tender yang dipengerusikan oleh Zahid kerana perlu isytihar supaya tiada konflik kepentingan.

Bagaimanapun katanya, lantikan ini jadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat kerana masih ada potensi untuk berlaku konflik kepentingan.

“Contohnya syarikat (MQ Tech atau Jiankun) cuba mendapatkan tender daripada kementerian yang tidak melibatkan Zahid, ini dibenarkan, tetapi kita tidak akan tahu apa yang terjadi di belakang tabir.

“Ini yang membuatkan ramai marah, sebab kemungkinan untuk berlaku konflik kepentingan sememangnya ada,” katanya kepada MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here