Agen hartanah rugi RM7.7 juta ditipu ‘pegawai Kementerian Kesihatan’

0
167

SEORANG agen hartanah berputih mata selepas kerugian sebanyak RM7,739,356 diperdaya sindiket Macau Scam, sejak 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang wanita berusia 66 pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Beliau berkata, mangsa telah menerima panggilan dari seorang lelaki bangsa tidak pasti yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mendakwa daripada Bahagian Khidmat Pelanggan Cawangan Putrajaya.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek telah menghubungi mangsa dan menyatakan terdapat 52 dos Vaksin Sinovac telah dimohon atas nama pengadu secara tidak sah dan satu tindakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, panggilan kemudian disambungkan kepada ‘Polis Di Raja Malaysia’ memaklumkan bahawa waran tangkap atas nama mangsa kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Malah, mangsa dinasihatkan supaya membuka tujuh akaun bank tempatan yang baru serta menyerahkan kesemua maklumat tujuh akaun bank tersebut kepada suspek.

“Suspek telah mengarahkan mangsa membuat transaksi pemindahan wang simpanan peribadi sebanyak RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun tersebut,” katanya, lapor Utusan TV.

Tambahnya, selepas transaksi pemindahan berjaya dilakukan, mangsa membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia dan dimaklumkan terdapat transaksi pengeluaran terhadap wang tersebut.

“Mangsa tidak puas hati dan rasa tertipu kerana transaksi pengeluaran dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya,” ujarnya.

Sehubungan itu, kes kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here