Kabinet balas budi sesama rakan – PN Melaka

0
278

PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menyifatkan pembentukan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang selesai mengangkat sumpah di Istana Negara, Kuala Lumpur Sabtu lalu sebagai Kabinet membalas budi sesama rakan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sidek turut mempersoalkan kepentingan di sebalik pelantikan beberapa pemimpin yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai menteri, sedangkan individu berkenaan jelas tidak mendapat mandat rakyat.

Beliau berkata, ini termasuklah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang boleh dilabel sebagai ‘kluster tewas’.

“Saifuddin Nasution, Zambry serta Tengku Zafrul daripada kluster yang baru tewas tersenarai sebagai menteri penuh. Rakyat melihat slogan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini cuma kosmetik pilihan raya, tidak lebih daripada itu.

“Integriti dan bersihnya terlalu rapuh. Boleh dikatakan pembentukan Kabinet tersebut menjurus kepada membalas budi sesama rakan. Bagaimanapun, saya ucapkan tahniah atas pembentukan Kabinet walaupun terlewat dari tarikh sepatutnya, mungkin disebabkan tidak banyak pilihan yang sesuai,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Sabtu lalu, seramai 27 menteri selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Jemaah Menteri dipecahkan kepada enam kumpulan dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia tersebut.

Majlis angkat sumpah dimulakan dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, diikuti Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Perladangan dan Komoditi.

Dalam pada itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, laungan ‘reformasi’ yang gagah dilaungkan sebelum ini jelas hanya retorik semata-mata.

Dakwanya, lantikan individu yang masih terlibat dalam kes mahkamah tidak menggambarkan prinsip dan janji PH untuk menentang amalan rasuah dalam kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebaliknya lantikan dibuat jelas hanya untuk menjaga sokongan pihak tertentu bagi menjamin kepentingan sendiri dalam memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, bukan kerana kepentingan rakyat dan negara,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here