Buruh didakwa tetak lelaki guna parang

0
155

SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa cedera parah termasuk hampir putus ibu jari tangan kiri.

Tertuduh, Mohd Amran Razali, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa berusia 38 tahun dengan menggunakan sebilah parang, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Gong Cempedak di daerah Marang, 7.50 malam pada 23 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari tahun depan.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki hampir putus jari dan cedera parah pada lutut akibat ditetak di hadapan sebuah rumah di Kampung Gong Cempedak, Marang.

Kejadian dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati berkaitan pembayaran ganti rugi kerosakan kereta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here