Sanusi nafi bangkit sentimen kaum, agama ketika ceramah

0
194

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan beliau menggunakan retorik perkauman ketika berkempen untuk calon PN bagi pilihan raya Parlimen Padang Serai.

Sanusi turut mencabar ADUN Kedah Asmirul Anuar Aris dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar membuktikan ucapannya yang dianggap “berbahaya”.

“Apa yang bahaya? Mengapa (mereka) rasa terancam? Ayat mana yang dikatakan mengapi-apikan sentimen bangsa dan agama?” soalnya.

Beliau berkata, ucapannya mungkin hanya “berbahaya” untuk PH, bukan seluruh negara.

“Mereka tak ada modal nak kempen, lagi-lagi bila PH berpakat dgn BN yang mereka kata kaki rasuah dulu,” katanya kepada FMT.

Beliau menjawab dakwaan Asmirul Anuar dan Mahfuz yang menuduh PN membuat kenyataan berbaur perkauman yang berbahaya untuk masa depan negara serta keperluan meletakkan tanda amaran terhadap kandungan sensitif di media sosial kerana ia sangat memecahbelahkan dan hanya mendorong agenda “kita lawan mereka”.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, beliau menyebut dalam ceramahnya bahawa “tsunami Melayu” telah berlaku pada PRU15 kerana pengundi Melayu memilih untuk menyokong PN, bukannya PH atau BN.

“Boleh semak angka dan statistik,” katanya.

Pada pilihan raya Parlimen Padang Serai, hanya calon PH Sofee Razak; calon PN Azman Nasruddin; dan calon bebas Ananda AK akan bertanding, sementara Barisan Nasional (BN) dan Warisan berkata mereka akan menyokong calon PH.

Pengundian akan berlangsung pada 7 Dis untuk memilih Ahli Parlimen baharu selepas M Karupaiya daripada PH meninggal dunia tiga hari sebelum pengundian PRU bulan lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here