IDEAS gusar lihat barisan kabinet baharu

0
276

INSTITUT Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) hari ini menyatakan rasa gusar mereka apabila melihat ada pemimpin parti politik yang sedang berdepan pertuduhan di mahkamah dibawa menyertai kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Dr Tricia Yeoh, berkata walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi alasan mahu mencapai kestabilan politik, pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri menghantar isyarat salah kepada rakyat.

Katanya sebelum ini Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk melaksanakan prinsip tadbir urus yang baik.

“Walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan melalui semua proses rayuan sudah memadai untuk mengekalkan kerusi di parlimen, ahli kabinet yang dilantik perlu mempunyai piawaian yang lebih tinggi.

“Ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini,” katanya.

Yeoh menjelaskan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat tugas sebagai menteri kewangan juga menunjukkan suatu prinsip tadbir urus yang tidak selaras dengan janji yang dinyatakan sebelum ini.

Komitmen untuk mengasingkan portfolio perdana menteri dengan menteri kewangan katanya, telah dinyatakan dengan jelas dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini.

Oleh itu, kata Yeoh, kedudukan menteri kewangan itu perlu diasingkan daripada Anwar bagi memenuhi proses semak dan imbang.

Katanya kerajaan mesti memilih individu yang sesuai untuk diberikan tugas tersebut.

NGO IDEAS

Pada masa sama Ideas turut berpuas apabila PH menepati janji mereka untuk mengecilkan saiz kabinet, selain pemilihan yang dilihat lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kami melihat perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan kabinet semasa.

“Hal ini dicerminkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia, dan enam wakil Borneo termasuk jawatan timbalan perdana menteri,” katanya.

Justeru Yeoh berkata tiba masa untuk kerajaan untuk melaksanakan manifesto pilihan raya yang dijanjikan oleh gabungan mereka kepada pengundi.

“Walaupun setiap gabungan menekankan aspek dasar yang berbeza dalam manifesto masing-masing, kebanyakannya berkongsi matlamat yang sama: untuk meringankan beban rakyat dan mempercepat pembaharuan institusi,” katanya.

Ideas juga menyeru pembangkang agar memainkan peranan yang berkesan dan adil terhadap kerajaan, malah perlu melakukan perancangan bagi membentuk kabinet bayangan.

Dengan membentuk kabinet bayangan dan memberikan kritikan yang membina terhadap dasar-dasar kerajaan, kata Yeoh, PN akan berjasa besar kepada negara bukan sahaja melalui menyediakan mekanisme semak dan imbang bahkan mengalihkan naratif awam semasa daripada propaganda politik yang memecahbelahkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here