7 lelaki bertopeng, berparang larikan hasil samun bernilai RM80,000

0
223

TUJUH lelaki bertopeng dan bersenjatkan parang melarikan wang tunai serta barang kemas bernilai kira-kira RM80,000 pada kejadian samun di sebuah rumah di Sidam Kiri dekat sini, jam 3 pagi semalam.

Ketika kejadian, penghuni rumah yang juga wanita warga emas berusia 67 tahun bersama anak lelaki, menantu dan lima cucu sedang tidur serta berehat sebelum dikejutkan dengan kehadiran penjenayah.

Malah, penjenayah turut mengacukan parang di leher cucu lelaki wanita berkenaan yang berusia 14 tahun sebelum mengugutnya supaya menyerahkan barang berharga.

Penjenayah kemudiannya memberi amaran akan membunuh semua mangsa sekiranya mereka ditahan polis.

Penjenayah menceroboh masuk melalui pagar sebelum mengumpil pintu dapur menggunakan besi. Rumah berkenaan terletak berhampiran ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, wanita berkenaan yang ketika itu berada di dapur terdengar bunyi kuat di pintu sebelum dia cuba meninjau.

Menurutnya, mangsa terkejut apabila melihat tujuh lelaki bertopeng serta bersenjata. Dia kemudiannya dibawa untuk berkumpul bersama ahli keluarga lain dalam sebuah bilik.

“Seorang daripada suspek mengacukan parang di leher cucu lelaki mangsa sebelum meminta mereka menyerahkan semua barang berharga, sekiranya tidak mahu sebarang perkara buruk berlaku.

“Mangsa, anak serta menantu kemudian menyerahkan pelbagai barangan berharga termasuk wang dan barang kemas dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, suspek kemudian mengikat mangsa sebelum beredar selain sempat memberi amaran akan membunuh mereka sekiranya kejadian itu dilaporkan atau suspek ditahan polis.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian. Pemeriksaan mendapati, suspek sempat mengambil alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Antara barang yang disamun dalam kejadian itu adalah 12 utas rantai serta gelang emas, telefon pintar, tabung serta wang tunai dan pelbagai barang berharga lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here