Isu ‘pengkhianat’ sudah lama berlalu – Azman

0
213

Oleh BADLISHAH MAT

CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin menyifatkan pihak lawan sudah ketandusan modal untuk berkempen apabila berterusan memainkan isu beliau kononnya sebagai ‘pengkhianat’.

Beliau menegaskan sudah menjelaskan perkara itu beberapa kali termasuk dalam siri ceramahnya iaitu perjuangan dalam PH dahulu tidak selari dan seiring dengan jiwa perjuangannya.

“Nampaknya lawan saya kehabisan modal, ketandusan isu, isu itu sudah berlalu, berlarutan lama dan sudah selesai. Hari ini saya bertanding atas tiket PN.

“Saya ambil keputusan untuk bersama PN, jadi nak berlawan gunalah isu yang baik sikit, yang diterima pengundi. Saya yakin rakyat di bawah khususnya pengundi saya pada 2018 sedar akan keperluan memilih parti yang prihatin, bersih, stabil dan menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas di Sungai Seluang, Padang Serai di Kulim.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas sebelum ini merupakan ahli PKR dan keluar parti itu pada 11 Mei 2020 sekali gus menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah sejak 2018.

Sementara itu, Azman menyarankan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivaraj untuk menarik diri daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan itu.

Beliau berkata, langkah itu selepas kedua-dua parti dan gabungan diwakili mereka kini sudah bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan.

“Sekarang ini PH dan BN berada dalam satu kerajaan, mana-mana pihak nak tarik diri kalau kedua-duanya lagi elok sebab kedua-duanya bertentangan prinsip perjuangan.

“PH (dengan cara) begini, BN (pula) begini, tapi kita PN kekal dengan prinsip perjuangan, saya yakin pengundi Padang Serai sudah celik dan tahu untuk pilih mana yang boleh membela mereka dalam Parlimen nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here