Dua cedera tabung NGV lori meletup ketika diisi gas

0
247

DUA lelaki termasuk seorang warga emas cedera selepas tabung gas asli (NGV) pada sebuah lori meletup di sebuah stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn, Jalan Langkasuka di Johor Bahru, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu lori berusia 64 tahun dilaporkan cedera ringan di tangan, namun pekerja stesen minyak berkenaan berusia 57 tahun cedera dan perlu dikejarkan ke hospital.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Faiz Suleiman, kedua-dua mangsa itu cedera selepas terkena serpihan tabung NGV yang meletup itu.

Katanya, letupan tabung NGV itu turut mengakibatkan sebuah teksi yang berada di stesen minyak, bangunan stesen minyak dan sebuah asrama pasar raya berhampiran stesen minyak rosak.

“Selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah hari, seramai 14 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Letupan berlaku ketika pengisian gas ke dalam tabung tong NGV itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian memberi rawatan kepada pemandu lori yang cedera ringan dan kemudian menghantar pekerja stesen minyak ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Seorang lagi pekerja stesen minyak iaitu wanita berusia 37 tahun dilaporkan selamat, namun trauma,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here