PM diminta bukti ketegasan, tolak ahli Kabinet ada kes mahkamah – MCW

0
206

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk membuktikan ketegasan dengan melantik ahli Kabinet dalam kalangan mereka yang berintegriti tinggi.

Tiada sebarang kompromi atas sebarang alasan melantik Ahli Parlimen yang sedang didakwa di mahkamah sebagai jemaah menteri Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Anwar perlu membuktikan bahawa nilai integriti dan karisma adalah keutamaan ahli Kabinet yang bakal dipilih.

Tegasnya, ini demi memartabatkan kembali nama Malaysia di persada dunia yang tercalar teruk akibat daripada pemimpin terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita sedar bahawa selama ini Perdana Menteri secara konsisten tegas dengan pandangan mahukan pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi.

“Nilai integriti, ketelusan dan salah guna kuasa mesti dizahirkan menerusi pelantikan anggota-anggota Kabinet yang mempunyai rekod bersih.

“Inilah masanya untuk membuktikan ketegasan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini seperti dilaporkan UtusanTV.

Jais berkata, MCW bersetuju dengan pendapat mengatakan sekiranya mereka yang masih memiliki kes mahkamah dilantik ia pasti akan melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ini.

Tegasnya, Ahli Parlimen terbabit hanya boleh dilantik sehingga didapati tidak bersalah dan dilepaskan sepenuhnya oleh mahkamah.

“MCW mewakili rakyat yang cintakan perjuangan antirasuah mengesa kerajaan terkini di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang mahu lakukan reformasi untuk bebaskan negara daripada cengkaman salah guna kuasa dan penyelewangan wang rakyat.

“Hentikan kerakusan kuasa politik supaya semua Ahli Parlimen yang bakal dilantik dapat bertindak dan bekerja tanpa melatah dalam mainan politik kotor.

“Berkhidmatlah dengan amanah demi kestabilan politik, kemakmuran rakyat dan bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta senario ekonomi dunia yang semakin meruncing,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here