UMNO bukan lagi tempat Melayu bergantung – Bekas Ketua Hakim Negara

0
319

KEANGKUHAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha untuk menggunakan kuasa supaya pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan menyebabkan tsunami Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berulang ke atas UMNO.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata tsunami PRU-14 adalah daripada UMNO kepada Pakatan Harapan kerana orang Melayu bencikan Datuk Seri Najib Razak.

“Tsunami PRU-15 ini adalah daripada UMNO kepada Perikatan Nasional kerana orang Melayu bencikan Zahid. Pakatan Harapan mendapat faedah sampingan kerana perpecahan undi Melayu akibat kurang cerdiknya pemimpin-pemimpin Melayu.

“Saya katakan, ini disebabkan oleh Zahid yang angkuh dan bertanggungjawab menetapkan calon-calon UMNO dalam PRU-15. Beliau angkuh kerana UMNO memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor walaupun itu berlaku in spite of him.

“Beliau dilihat sebagai seorang yang berusaha untuk mengguna kuasa supaya pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan seperti Lim Guan Eng (Pengerusi DAP) atau, jika dia didapati bersalah, beliau akan diberi pengampunan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH).

“Berulang-ulang kali beliau mengugut untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Beliau, disokong oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO menekan Ismail Sabri supaya menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen dan mengadakan pilihan raya yang dilihat sebagai tamakkan kuasa untuk digunanya bagi membebaskannya daripada pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadapnya.

“Semua persepsi dan realiti itu menimbulkan kebencian orang ramai, termasuk pengundi Barisan Nasional, menyebabkan mereka mengundi PN,” katanya dalam tulisan di blog beliau.

Abdul Hamid berkata setelah UMNO dan BN kalah teruk pun Zahid masih enggan berundir sebagai Presiden UMNO dan berunding Dengan Anwar untuk menubuhkan kerajaan PH-BN.

“Mereka lupa apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang ditentang sekeras-kerasnya oleh orang Melayu dan UMNO sendiri seperti menjual harta Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan, kepada Cina Singapura.

“Pemimpin-pemimpin DAP tidak menunjukkan muka atau bersuara dalam perbincangan BN-PH itu. Itu taktik cerdik DAP untuk tidak memberi gambaran bahawa DAP adalah parti dominan dalam PH.

“Ini jelas bertentangan dengan resolusi Perhimpuan Agung UMNO yang mengatakan: “No Anwar. No DAP.”

“Ada juga pemimpin UMNO yang berkata UMNO tidak akan bergabung dengan PN melainkan jawatan Perdana Menteri diberi kapada UMNO. Ingatlah, UMNO hanya mendapat 26 kerusi berbanding dengan 73 oleh PN. Itu juga menunjukkan mereka lebih mementingkan jawatan Perdana Menteri daripada mengelak jatuhnya Kerajaan Persekutuan kepada PH.

“Sampai di sini saya menulis, terdengar pula berita bahawa BN mengambil keputusan berkecuali. Ertinya, ia tidak meyokong PN atau PH dalam pemilihan pelantikan Perdana Menteri. Jika ini menyebabkan PH berkuasa semula, ini adalah kesilapan UMNO terbesar yang membunuh dirinya sendiri. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak boleh dimaafkan.

“Semua ini menunjukkan bahawa orang Melayu sudah tidak boleh bergantung kepada UMNO lagi untuk membela kepentingan mereka. Maka, sudah tibalah masanya bagi orang Melayu meninggalkan UMNO dan memberi sokongan padu kepada PN,” katanya. – Agenda Daily

Berikut pautan tulisan asal Tun Abdul Hamid yang disiarkan di blognya tunabdulhamid.my

Tulisan Tun Abdul Hamid ‘MELAYU TIDAK BOLEH BERGANTUNG KEPADA UMNO LAGI’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here