Penceramah bebas mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

0
191

SEORANG penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga ahli keluarga.

Tertuduh berusia 61 tahun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga tiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang berusia lima tahun sembilan bulan, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu antara 4 hingga 6 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili Mohd Ridzuan Muhamad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here