PN, BN bertemu petang ini

0
205

BEBERAPA pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) tiba di sebuah hotel di ibu kota, di sini, dipercayai untuk menghadiri satu pertemuan penting. 

Naib presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di perkarangan hotel terbabit pada 2.57 petang.

Ketika ditanya tujuan kehadirannya di hotel itu jika menghadiri apa-apa mesyuarat, Ismail Sabri enggan mengulas lanjut dan hanya berkata ‘tidak tahu’.

“Tak tahu lagi…,” katanya ringkas sebelum masuk ke lobi hotel berkenaan lapor Harian Metro.

Turut diikuti, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang tiba pada 3.04 petang. 

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin pula tiba pada 3.15 petang

Sebelum itu, puluhan pengamal media menunggu di hadapan hotel terbabit sejak jam 10 pagi tadi susulan ‘berita’ satu perjumpaan antara PN dan 10 Ahli Parlimen BN dijangka diadakan di sebuah hotel di ibu kota, di sini, pagi ini. 

Bagaimanapun, ia belum dapat disahkan kerana semua ahli parti gabungan berkenaan mengunci mulut mengenainya. 

Terdahulu media melaporkan, sesi menghadap antara beberapa pemimpin parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara selesai setakat tengah hari ini.

Pertemuan berkenaan membabitkan tiga pimpinan BN dan empat pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan BN diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Mohamad dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Kemelut pembentukan kerajaan masih belum terungkai berikutan tiada parti yang mendapat cukup majoriti selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here