Tiga pemuda mengaku tidak bersalah rompak stesen minyak guna pistol mainan

0
176

Oleh RIZQI ZABIDI

TIGA pemuda mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pistol mainan di sebuah stesen minyak dekat Kodiang, Kedah kira-kira dua minggu lalu.

Ketiga-tiga individu berkenaan, Mohd. Aliff Danish Abdullah, 24, Muhammad Iqmal Md. Yusli, 22 serta Mohd. Zamanizam Mat Hassan, 29, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim. Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan rompakan tersebut terhadap pekerja stesen minyak tersebut yang berusia 24 tahun dengan bersenjatakan pistol mainan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.15 pagi, 12 November lalu di sebuah stesen minyak di Kodiang dekat Kubang Pasu.  

Pertududuhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nur Syifa Mohd. Hamzah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 397 Kanun sama manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan disebat.

Terdahulu Nur Syifa mencadangkan agar mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mohd. Aliff yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon kemudiannya memohon agar kadar jaminan itu dikurangkan dengan jaminan tersebut akan dibayar oleh bapanya yang tinggal di Sarawak, kerana mengikuti jemaah tabligh.

Dua lagi tertuduh iaitu Muhammad Iqmal dan Mohd. Zamanizam bagaimanapun hanya menyatakan bahawa tiada waris yang hadir ke mahkamah untuk menjamin mereka.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan pada setiap bulan, hingga kes tersebut selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Disember depan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here