PRU-15: Pengundi ‘bersarakan’ Ku Li, Mahathir

0
222

PENGERUSI Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Turut menerima nasib serupa ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas mengejut kepada calon Pas-Bersatu Datuk Mohd Azizi Abu Naim dalam usaha beliau mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12

Menurut keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, Dr Mahathir, 97, yang merupakan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara serta calon tertua pada PRU-15, hanya memperoleh 4,566 undi berbanding 25,463 undi diterima Mohd Suhaimi yang mencatatkan majoriti 13,518 undi.

Tiga lagi calon yang tewas dalam perebutan kerusi itu ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Armishah Siraj yang memperoleh 11,945 undi, calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah Zabidi Yahya (5,417 undi) dan calon Bebas yang menggunakan lambang bunga Datuk Abd Kadir Sainudin yang hanya meraih 89 undi dan turut hilang deposit.

Pada PRU-14, Dr Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi di bawah tiket PKR dengan majoriti 8,893 undi untuk menewaskan calon BN Datuk Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad dari Pas.

Sementara itu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili BN mendapat 21,663 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang Ab Pattah Hasbullah.

Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi selepas menewaskan pencabarnya daripada Pas dan PKR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here