PRU-15: 70 peratus keluar mengundi setakat jam 4 petang

0
178

Sebanyak 70 peratus pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), setakat jam 4 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Meskipun peratusan itu masih lebih rendah berbanding PRU14 yang mencatat keseluruhan 82.32 peratus keluar mengundi, namun jumlah pengundi PRU15 setakat ini sudah melebihi jumlah pengundi pada PRU14.

Pada PRU14 empat tahun lalu, jumlah 82.32 peratus yang keluar mengundi adalah bersamaan dengan 12,299,514 daripada keseluruhan 14,940,624 pengundi.

Dalam PRU15, jumlah pengundi keseluruhan meningkat kepada 21,173,638 berikutan pelaksanaan daftar pemilih automatik dan pembabitan pengundi berusia 18 tahun ke atas.

Pemilih terdiri daripada 20,853,681 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan, dan 2,741 pengundi tidak hadir luar negara.

Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada jam 7.30 pagi tadi di Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala di Semenanjung Malaysia pula jam 8 pagi.

Turut diadakan serentak kali ini ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here