PN Pahang yakin dapat kepercayaan rakyat terajui negeri

0
203

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah amat yakin rakyat negeri ini akan memberikan kepercayaan kepada PN Pahang untuk menerajui pentadbiran negeri pada 19 November ini.

Katanya, ini berdasarkan kepada kempen yang telah berlalu selama hampir seminggu

Katanya, respons positif rakyat dan kekuatan tawaran PN iaitu Prihatin, Bersih, Stabil boleh memberi jaminan bahawa gabungan itu dapat menawan negeri ini.

“Kita yakin bahawa Kerajaan PN Negeri Pahang adalah bersifat inklusif dan dalam masa yang masa menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan sekali gus menepati keperluan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama di negeri Pahang,” ujarnya memetik laporan Harakah Daily.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN P.082 Indera Mahkota di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Ranndy Yap Kim Heng.

Sementara itu, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, PAS juga melihat gelombang sokongan terhadap PN begitu tinggi sehingga kini dan dijangka terus melonjak sehingga 19 November ini.

Katanya, dengan sokongan dan gelombang terhadap PN itu, PAS yakin dapat menang sekurang-kurangnya 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita sudah menang sehingga lapan kerusi DUN sebelum ini, namun begitu ada beberapa kerusi yang majoriti kecil. Senario politik PRU14 sama dengan senario politik di PRU15, iaitu kita bertanding tiga penjuru.

“Pada ketika itu, PAS menggunakan kekuatan sendiri sahaja, tetapi pada kali ini pas tidak keseorangan, ditambah Bersatu dan Gerakan dalam PN.

“Jadi kita yakin sokongan daripada Bersatu, Gerakan, dan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu berjasa kepada rakyat, dan melonjakkan undi kita sekaligus ambil alih DUN yang kita kalah tipis.

“Contohnya di Pulau Tawar, Semmabu, Cheka dan beberapa kerusi yang ada. lebih kurang 11 kerusi yang kalah bawah pada 1,000. Jadi dengan pengundi tegar PAS, campur dengan pengundi dari rakan Bersatu dan Gerakan, Insya Allah menjadi kenyataan,” katanya.

Pada PRU kali ini, beliau berdepan dengan tiga lagi calon iaitu Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang), Zuraidi Ismail (PH) dan Datuk Quek Tai Seong (BN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here