PN tawar enam agenda tambahan untuk Rembau

0
215

CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus hari ini melancarkan manifesto tambahan bagi mengukuhkan peluang parti itu memenangi kerusi Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Tawaran itu yang dikenali sebagai Rembau Maju Bersama meliputi enam agenda berkaitan wanita, pelancongan, pendidikan, belia, budaya dan komuniti.

Mohd. Nazree berkata, tawaran itu dibuat selepas beliau dan pasukan kempen parti itu turun padang menemui orang ramai sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu.

“Semasa turun padang orang ramai telah menyatakan pelbagai isu dan hasrat mereka yang memerlukan perhatian oleh kerajaan. Berikutan itu saya telah merangka manifesto tambahan ini khusus untuk Parlimen Rembau bagi memenuhi hasrat rakyat tersebut,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan PN Parlimen Rembau di Senawang dekat sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut manifesto tambahan itu, kata Mohd. Nazree, pihaknya bercadang mendirikan Pusat Pemerkasaan Wanita Rembau, Pusat Pelancongan Eko Rembau dan Pusat Pengembangan Pendidikan Komuniti Rembau.

Tambahnya, selain itu pihaknya merancang mendirikan Pusat Kreativiti Pemuda Rembau, Perkampungan Budaya Rembau serta Pusat Integrasi Khidmat dan Bantuan Komuniti Rembau.

Beliau menarik perhatian, kesemua agenda itu akan dilaksanakan secepat mungkin sekiranya PN berjaya meraih kerusi Parlimen Rembau dalam pilihan raya umum, Sabtu ini.

“Kami berhasrat melaksanakan agenda ini secepat mungkin demi manfaat penduduk di Rembau. Ia tidak terlalu rumit malah munasabah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya memetik laporan Utusan Online.

Mohd. Nazree akan berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Rembau menentang Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Jufitri Joha (Pakatan Harapan), Ramly Awalludin (Parti Pejuang Tanahair) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here