Bekas Setiausaha Tetap KPSU, anak dan menantunya maut dalam kebakaran

0
130

BEKAS Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sarawak, Affendi Keli, maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Gita, di Kuching pukul 7 malam tadi.

Selain Affendi, 69, turut terkorban anaknya Aneeqa, 35 dan menantunya, Nor Hasyidah Ajis, 22.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di tingkat atas rumah jenis kekal itu.

“Ketiga-tiga mangsa maut dipercayai lemas selepas terperangkap di dalam asap tebal akibat kebekaran itu.

“Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.03 malam dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu lapan anggota dari BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat setengah berstruktur kekal terbakar 100 peratus dan turut musnah empat kenderaan manakala sebuah lagi musnah separuh,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor BH online.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Affendi, juga pernah menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan Sarawak serta Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here