SEORANG pengundi warga emas di Permatang Pauh menerima serangan peribadi daripada penyokong dan tentera siber Pakatan Harapan (PH) selepas mengkritik penyandang kerusi Permatang Pauh dari PKR Nurul Izzah Anwar kerana gagal membawa sebarang perubahan di kawasan itu.
Noorasiah Saad, 72, penduduk Kampung Tanjung Putus di Permatang Pauh, sebelum ini ditemu bual oleh laman sesawang Malaysia Gazette, di mana dia meluahkan kekecewaan terhadap ahli Parlimen tersebut, mengatakan beliau “tidak melakukan apa-apa” di kawasan itu.
“Dekat nak pilihan raya baru datang, nak bergambar dengan kita, tetapi tak ada kerja yang mereka buat.
“Duduk di Kuala Lumpur, jadi wakil di sini, macam mana? Kami warga emas di Tanjung Putus teringin nak tengok perubahan di Permatang Pauh.
“Kalau terus macam ini juga, malu nak mengaku orang Permatang Pauh. Macam nampak bodoh sangat. Kali ini kami nak buat perubahan pilih orang-orang yang boleh buat kerja dan betul-betul minat jadi wakil rakyat,” katanya, lapor Malaysianow.
Noorasiah turut membidas Nurul Izzah, mengatakan beliau tidak memainkan peranan dengan baik sebagai ahli Parlimen, dan merupakan seorang “pelakon handalan”.
Nurul Izzah akan mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua pada pilihan raya yang dijadualkan 19 November ini.
Sebelum ini, kerusi tradisi diwakili Anwar Ibrahim itu bertukar tangan kepada ibunya Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada 2018, kerusi itu sekali lagi bertukar tangan kepada anak perempuan mereka selepas presiden PKR itu menjalani hukuman penjara atas kesalahan liwat.
‘Bila nak mati makcik?’
Sebaik sahaja rakaman temu bual Noorasiah dimuat naik di akaun Twitter Malaysia Gazette, ia menerima pelbagai penghinaan daripada penyokong PKR dan tentera siber, di mana ramai yang mengejek wanita itu sambil mempertahankan prestasi Nurul Izzah.
“Takkan nak hulur RM50 kepada makcik baru kira buat kerja?” kata sebuah ciapan akaun Twitter yang berkait parti itu, Setia Keadilan.
Beberapa ciapan lain dilihat menuduh Noorasiah sebagai penyokong Umno, malah ada yang mengatakan dia menerima “dedak”, merujuk suapan kecil yang diberikan kepada pengundi semasa pilihan raya.
“Dah dapat beras sekampit dia ikutlah skrip yang diberi,” ciap akaun Twitter menggunakan nama Kebenaran.
Ramai juga yang dilihat secara terburu-buru menganggap Noorasiah tidak berpendidikan, manakala sebuah akaun mengatakan wanita itu seakan tidak pernah keluar dari rumahnya.
“Makcik ni nak lebuh raya bertingkat, hospital pakar KPJ, IOI Mall, kilang kereta Tesla, Legoland dan Universiti Stanford cawangan Permatang Pauh. Wakil rakyat dari langit pun tak boleh bagi kepada makcik ini” kata satu lagi ciapan.
Malahan, sebuah akaun Twitter bernama Norhisyam Hasim sanggup menciap: “Makcik, bila nak mati makcik?!”
Reaksi buruk terhadap Noorasiah adalah salah satu daripada banyak contoh budaya pengenyahan menjelang hari pengundian, apabila parti politik menjadikan media sosial sebagai medan perang propaganda bagi menunjukkan mereka mempunyai lebih banyak sokongan berbanding pihak lain.
Kebanyakan akaun Twitter yang melemparkan penghinaan terhadap Noorasiah kelihatan dikendalikan oleh tentera siber, yang menjadi senjata berkesan digunakan oleh parti politik.
Awal bulan ini, penyokong PH diberitahu untuk memperbanyakkan ulasan menyokong gabungan itu di media sosial, menggesa mereka mengikuti siaran langsung ceramah pemimpinnya selain berkongsi dan menyukai kandungan yang disiarkan secara meluas.