PN penyelamat ekonomi Bumiputera

0
251

TINDAKAN bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyekat beberapa peruntukan istimewa Bumiputera ketika memegang tampuk pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai tidak menghormati keistimewaan orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh 22 bulan berada di dalam PH ketika itu cukup menyeksakan.

“Berada 22 bulan dalam PH adalah cukup tertekan dan menyeksakan. Saya berpengalaman ketika itu sebagai Menteri Dalam Negeri yang menguruskan soal keselamatan negara. Ada beberapa contoh kes yang saya nak sebutkan di sini betapa parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PH dan DAP memang tidak menghormati perkara utama yang menjadi tunjang negara kita.

“Contoh saja dalam soal ekonomi yang ni diberitahu saya oleh Datuk Seri Azmin Ali dan kami sama-sama ada di situ. Tertubuh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang membantu Bumiputera dalam urusan perniagaan.

“Ada Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) iaitu satu organisasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang besar yang ada peruntukan lebih RM2 bilion. Kedua-dua agensi utama ini waktu mana kita dalam mesyuarat ditekan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ada masa beliau langsung tak menghormati agensi seperti TERAJU dan beberapa peruntukan diambil balik dan diberhentikan,” katanya ketika menyampaikan ceramah Jelajah PN Best Tambun di Pejabat Bersatu Negeri Perak di sini, pada Isnin.

Muhyiddin berkata, beliau dan barisan kepimpinannya mewujudkan semula TERAJU untuk menjamin kesejahteraan Bumiputera di negara ini.

“Guan Eng turut menarik peruntukan yang kerajaan sediakan untuk Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR). Ya, ia diperuntukkan oleh MCA sebanyak RM300 juta bertujuan membangunkan masyarakat Melayu dan lain-lain. Hanya waktu mana PN yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri, kita pulangkan balik peruntukan itu kerana ini berkaitan dengan soal pendidikan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here