‘Mood’ pengundi DUN Cheka positif terhadap PN – Tuan Ibrahim

0
287

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin Perikatan Nasional (PN) akan menjadi pilihan pengundi di DUN Cheka, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada ‘mood’ pengundi di kawasan tersebut yang dilihat semakin positif terhadap kehadiran beliau sebagai calon PN di DUN tersebut.

“Saya dan jentera parti perlu bekerja keras dalam usaha meningkatkan sokongan pengundi kepada PN pada pilihan raya kali ini.

“Saya sendiri telah melawat ke hampir semua kawasan di DUN Cheka termasuk ke Unit Daerah Mengundi (UDM) yang ada sekaligus bertemu sebahagian besar pengundi,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam, lapor Utusan Malaysia.

Katanya, hanya satu atau dua kampung yang kedudukannya agak jauh  masih belum dilawati namun beliau dijangka akan melawatinya dalam masa terdekat.

Ditanya berkenaan namanya yang dicadangkan sebagai calon menteri besar sekiranya PN menang di Pahang, Tuan Ibrahim berkata buat masa sekarang beliau lebih pentingkan kerja untuk memastikan kemenangan parti pada PRU-15.

“Perkara itu kita fikir kemudianlah. Yang penting kita buat kerja dahulu, usaha dahulu sebab kita bukan nak berebut jawatan. Kita buat kerja dan buktikan melalui undian nanti,” katanya yang juga calon Parlimen Kubang Kerian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here