Tak guna isytihar harta jika tak sedia dipertikai – Afif Bahardin

0
245

CALON Perikatan Nasional (PN) Dr Afif Bahardin mengkritik ahli politik yang membuat pengisytiharan harta namun enggan membiarkan kekayaan mereka dipersoalkan, mengatakan sikap tersebut tidak mencapai tujuan sebenar yang mahukan ketelusan ketika mengisytiharkannya.

“Sekarang, ada pengisytiharan harta dibuat oleh sesetengah (calon) ahli Parlimen, namun bila wartawan bertanya soalan, dia marah,” kata Afif merujuk sidang media Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pada minggu lalu, di mana ketegangan berlaku apabila beliau dilihat naik angin terhadap wartawan yang meminta ulasannya terhadap kritikan berkaitan aset yang diisytiharkan.

“Sebab sebenar kita membuat pengisytiharan awam adalah supaya orang ramai boleh mempertanyakannya,” kata Afif, yang merupakan calon PN untuk kerusi Shah Alam selepas melancarkan manifestonya untuk kawasan itu hari ini.

Calon Perikatan Nasional Shah Alam Dr Afif Bahardin ketika berkempen di Shah Alam. Gambar: Facebook

Baru-baru ini, calon pilihan raya PKR dari Pakatan Harapan (PH) membuat pengisytiharan harta selepas ditetapkan parti itu, di mana lebih RM350 juta jumlah aset telah diisytiharkan setakat ini.

Bagaimanapun, pengisytiharan yang dibuat Rafizi menjadi antara yang paling hangat dibincangkan, di mana senarai aset peribadinya menunjukkan lonjakan kira-kira RM17 juta dalam tempoh tujuh tahun. 

Pemimpin PKR itu dipertikai kerana turut menyenaraikan saham Invoke Solutions – sebuah syarikat berkait parti itu dan tidak berasaskan keuntungan – dalam senarai aset dimilikinya.

Namun, Rafizi mempertahankan tindakannya itu, mengatakan dirinya sudah bergelar jutawan pada usia 30 tahun.

Dalam pada itu, Afif berkata tidak ada keperluan bagi seseorang calon mengisytiharkan harta melainkan setelah mereka dilantik untuk memegang sebarang jawatan awam.

Sebelum ini, rakan kongsi PKR, DAP turut berkongsi pandangan yang sama, mengatakan calonnya hanya akan mengisytiharkan harta sekiranya mereka dilantik memegang jawatan.

Pada pilihan raya yang dijadualkan 19 November ini, Afif akan bersaing dengan tiga lagi calon dari PH, Barisan Nasional (BN) dan Pejuang.

Ketika ini, penyandang kerusi Parlimen tersebut adalah Khalid Samad dari Amanah. 

Beliau menyandang kerusi itu selama tiga penggal, di mana beliau memenanginya dua kali di bawah tiket PAS.

Bagi pilihan raya umum (PRU) kali ini, Khalid akan bertanding di Titiwangsa.

Afif yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya berkata, beliau tidak menjangkakan persaingan yang mudah di Shah Alam.

“Cabaran besar, Shah Alam bukan kerusi mudah, dimenangi PH sejak 2008.

“Jadi, untuk alihkan majoriti PRU lepas bukan mudah,” katanya, lapor MalaysiaNow.

Dr Afif Bahardin di Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam.

Bagaimanapun, beliau berkata sambutan yang diterimanya baik, dan ramai penduduk tempatan mengenalinya.

Beliau turut berjanji untuk membantu Shah Alam menyelesaikan isu banjir terus dihadapi penduduk, di mana ramai banyak kawasan di ibu negeri itu terjejas sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

Beliau berkata terdapat keperluan supaya agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan bekerjasama.

“Cara kerja yang bersendirian sudah lama berlalu.”

Shah Alam mempunyai lebih 430,000 penduduk, di mana Melayu membentuk 74% populasi, manakala Cina dan India masing-masing mewakili 17% dan 8%.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here