Persaingan sengit antara guru dengan bekas pelajar di Hulu Terengganu

0
186

PERSAINGAN sengit bagi memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini akan menyaksikan pola pengundian lebih 87,971 pengundinya sama ada berorientasikan calon ataupun kepartian.

Umum mengetahui, penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Rosol Wahid pada pilihan raya kali ini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), sedangkan pada PRU lepas beliau memenangi kerusi yang dianggap ‘kubu kuat’ Barisan Nasional (BN) itu atas tiket gabungan berkenaan.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilihat menerima tentangan hebat daripada bekas anak muridnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat yang mewakili BN, dan kedua-dua mereka pernah berjuang di atas pentas yang sama ketika Rosol masih bersama UMNO.

Menjadi satu-satunya wakil daripada Bersatu di Terengganu yang akan ‘membawa’ logo PAS di medan PRU15, Rosol mengakui perkara itu bukan tugas mudah, namun bekas guru itu bersyukur kerana mempunyai barisan jentera termasuk daripada PAS yang akan membantu memastikan kemenangannya.

“Soal kebajikan rakyat dan agenda pembangunan yang dapat meningkatkan ekonomi setempat antara yang akan terus saya fokus jika diberi mandat pada PRU15 nanti, insya-Allah,” kata Rosol kepada Bernama.

Jawatan sebagai timbalan menteri juga telah membuka ruang kepada Rosol untuk membantu penduduk setempat terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang melalui program-program termasuk Gerobok Prihatin di masjid sekitar Hulu Terengganu dan pelbagai program jualan murah.

Rosol memulakan langkah dalam dunia politik sebagai ADUN Ajil pada 1999 sehingga berjaya menjadi Ahli Parlimen Hulu Terengganu pada PRU14 dengan kemenangan majoriti 2,868 menewaskan calon PAS dan PKR.

Dalam pada itu, walaupun PRU15 ialah pengalaman pertama Rozi bertanding di peringkat Parlimen, beliau tidak boleh dianggap sebagai lawan yang mudah ditundukkan kerana telah empat penggal dipilih sebagai ADUN Telemong sejak 2004, dan sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri.

Rozi turut mempunyai pengaruh kuat di Hulu Terengganu dan pastinya beliau mempunyai strategi untuk merampas semula kerusi yang pada awalnya milik BN itu, termasuk akan berusaha bersemuka dengan seramai mungkin pengundi di kawasan itu.

Selain berhasrat memperkasakan infrastruktur pendidikan di Hulu Terengganu bagi melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai dari daerah itu, Rozi juga bercita-cita untuk memperkasakan infrastruktur pelancongan terutama di Tasik Kenyir jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.

“Selain mengikuti manifesto BN di peringkat pusat, dalam konteks UMNO dan BN di Hulu Terengganu ini, saya ingin Tasik Kenyir bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong domestik malah juga pelancong antarabangsa. Selain itu, lokasi lain seperti Kampung Belukar Bukit yang terkenal dengan flora dan fauna serta air terjun juga boleh diketengahkan kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

Meskipun Rosol dan Rozi sering dianggap sebagai calon pilihan, dua lagi pencabar iaitu calon parti Pejuang Mohd Khadri Abdullah dan calon Pakatan Harapan (PH) Alias Ismail tidak boleh dipandang sepi kerana kedua-duanya turut mempunyai misi untuk pengundi di Hulu Terengganu.

Alias yang juga bekas guru memberitahu Bernama, antara isu yang akan diketengahkan beliau ialah nasib golongan petani di Hulu Terengganu yang menghadapi pelbagai masalah termasuk serangan binatang liar dan tanah yang tidak subur.

“Saya dapati serangan binatang liar di kebun-kebun di daerah ini seperti tidak diberi perhatian sepenuhnya. Ada yang tanaman sudah mula berbuah tetapi dirosakkan binatang liar seperti gajah dan babi. 

“Begitu juga ada kawasan yang tanah tidak subur jadi kita perlu membimbing petani mengenai cara penanaman yang berkesan. Ilmu pengetahuan ialah kunci kepada kemajuan dan peningkatan taraf hidup, bukan hanya bantuan seperti kewangan yang bersifat sementara,” katanya.

Bagi Mohd Khadri pula, walaupun dilabel sebagai calon tidak popular dan agak sukar mengatasi pesaingnya terutama Rosol dan Rozi, beliau tetap bersemangat berkempen terutama menerusi media sosial yang dirasakannya lebih efektif pada masa kini.

Beliau juga percaya sebarang situasi boleh berlaku pada PRU15 termasuk keputusan pengundian pada 19 Nov ini yang tidak mustahil akan berpihak kepadanya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here