Makin ramai ahli UMNO tolak kepimpinan Zahid Hamidi

0
392

KEWIBAWAAN UMNO terus tercalar apabila semakin ramai ahli dan penyokong secara terbuka mengumumkan keluar daripada parti itu.

Sebelum ini ratusan penyokong UMNO di Bachok keluar parti itu dan menyertai Bersatu, manakala di Kubang Kerian seramai 50 ahli dan penyokong UMNO di Unit Daerah Mengundi (UDM) Wakaf Stan kini menyertai PAS.

Borang menyertai PAS diserah pesara kerajaan Abdul Razali Deraman bersama isterinya, Maziah Yusoff.

Abdul Razali berkata, banyak kepincangan, penyelewengan dan kegagalan UMNO di bawah pemimpin sekarang. 

“Kami sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden UMNO. Kami melihat kepimpinan UMNO sekarang hanya retorik yang berjuang bagi kepentingan individu tertentu.

“Kelangsungan UMNO tidak lagi seperti dahulu sehingga menyebabkan kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi semakin terhakis,” katanya ketika ditemui di program ceramah kelompok di Batu 6, Kampung Wakaf Stan, di sini, semalam memetik laporan Harakah Daily.

Ceramah tersebut disampaikan ahli jawatankuasa PAS Kubang Kerian Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa dan bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan Nazman Che Ibrahim.

Hadir sama isteri calon PN Kubang Kerian Datin Sri Norrulain Md. Hashim, Timbalan Ketua Bersatu Kubang Kerian Dato’ Dr Mohamed Saat, Ketua Muslimat PAS kawasan Zainiah Abd. Halim dan Penghulu Mukim Wakaf Stan, Zaharudin Ya’akub.

Parlimen Kubang Kerian menyaksikan pertandingan empat apabila penyandang Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ditentang Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah (PH), Mohamad Rizal Razali (Putra) dan Dato’ Nurul Amal Mohd Fauzi (BN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here