Israel isytihar perang terhadap wartawan Palestin

0
674

ISRAEL melancarkan ‘perang berskala luas’ terhadap petugas media Palestin seperti digambarkan menerusi pembunuhan wartawan berketurunan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh, kata beberapa wakil wartawan kepada pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

“Israel menyasarkan wartawan Palestin sebagai sebahagian daripada dasar sistemik untuk menutup suara rakyat Palestin dan suara kami.

“Kami wartawan Palestin bukan sahaja menjadi mangsa pencabulan dan kekerasan tetapi sasaran perang berskala luas oleh penjajah (Israel),” kata Pre­siden Persatuan Pemberita Pa­lestin, Naser Abubaker, lapor Kosmo!

Bercakap kepada pasukan penyiasat PBB, katanya, hampir 50 wartawan Palestin dibunuh semasa melakukan tugas mereka sejak tahun 2000, namun ‘tiada sesiapa yang dipertanggungjawabkan’.

Naser memberikan contoh kes Shireen yang merupakan wartawan veteran Al Jazeera. Dia memakai jaket kalis peluru tertera perkataan Press dan topi keledar tetapi ditembak di kepala semasa operasi tentera Israel pada 11 Mei lalu di kem pelarian Jenin, wilayah Tebing Barat.

Menyifatkan insiden tembakan itu sebagai kes pembunuhan dan jenayah perang, Naser memberitahu bahawa enam bulan sudah berlalu tanpa pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Tentera Israel mengaku buat kali pertama pada September lalu bahawa salah seorang askar­nya menembak Shireen, kononnya kerana tersilap menyangka mangsa ialah pejuang Palestin.

Pengakuan itu dibuat berbulan-bulan selepas tentera Israel bertegas bahawa mustahil untuk mengenal pasti siapa yang me­nembak wartawan wanita itu. Israel juga mendakwa bahawa mang­sa mungkin mati akibat terkena tembakan pejuang Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here