PRU-15: Pak Wan nafi tak turun padang

0
142

PENYANDANG kerusi Parlimen Alor Gajah daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menafikan beliau tidak turun padang sepanjang tempoh perkhidmatannya di kawasan berkenaan.

Menurut Mohd Redzuan atau lebih mesra dipanggil Pak Wan, beliau turun padang tiga kali seminggu bagi menyampaikan bantuan kerana menjadi tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.

“Jika tidak berkesempatan, pegawai saya akan turun meninjau dan memberi bantuan yang diperlukan.

“Semalam tular dakwaan Pak Wan lima tahun tak turun padang dan tidak menyantuni rakyat. Saya tak tahu siapa yang tularkan.

“Apapun penggal bukan lima tahun, sebaliknya empat tahun selain kekangan Covid-19 dekat dua tahun. Mereka tak tahu saya turun Alor Gajah, kalau saya tak turun, saya pastikan ada wakil membabitkan pegawai pejabat saya memberi bantuan yang diperlukan.

“Siapa yang tulis itu boleh minta pada Pak Wan statistik yang ada. Berjuta-juta ringgit dikeluarkan malah kereta yang ada gambar Pak Wan setiap hari keluar memberi bantuan menerusi Pusat Khidmat Parlimen Alor Gajah ketika itu.

“Kalau mereka boleh turun padang buat macam Pak Wan, turunlah, kerana Pak Wan mempunyai rekod termasuk menyantuni mereka yang sakit, bantuan katil, keperluan susu dan pelbagai bantuan tidak kira bangsa dan agama,” katanya, lapor Harian Metro.

Tiada niat mahu menunjuk-nunjuk tetapi apabila ada yang mempertikaikan, beliau perlu menjelaskan kerana ia tanggungjawab Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, beliau juga berusaha menyelesaikan masalah jalan gelap di Asahan dan kawasan lain dalam tempoh sebulan jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, itu antara 17 perkara dalam lima teras aku janjinya yang dikenal pasti dapat diselesaikan dalam tempoh singkat jika tiada kerenah birokrasi.

Beliau berkata, ia membabitkan kaedah pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) di tiang lampu sedia ada tanpa membabitkan penambahan tiang lampu di kawasan berkenaan.

Di bawah jenama Tawaran Untuk Rakyat Alor Gajah itu, Mohd. Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggariskan 17 tawaran membabitkan lima teras utama.

“Semua tawaran dirangka berdasarkan maklum balas terima selama empat tahun perkhidmatan sebelum ini dengan mendekati permasalahan secara mikro tanpa meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau ingin menyambung beberapa program ketika menjadi Menteri Pembangunan Usahawan sebelum ini seperti program SmartFarmer dan Biasiswa Pak Wan kepada anak-anak tempatan.

Selain Mohd. Redzuan, Parlimen berkenaan menyaksikan pertembungan membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Shahril Sufian Hamdan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here