PRU-15:PN tanding di parlimen Beluran tidak dirancang-PAS Sabah

0
272

KEPUTUSAN Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk bertanding mempertahan kerusi Parlimen Beluran atas tiket Perikatan Nasional (PN) adalah perkara tidak dirancang, kata Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan.

Justeru katanya PAS Sabah pada masa ini kekal dengan pendirian menyokong penuh calon dan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN) di negeri ini dan melihat kerusi Parlimen Beluran adalah kuota untuk BN.

“Tidak ada pihak yang harus dipersalahkan dalam perkara itu dan kita patuh kepada pimpinan pusat (menyokong GRS-BN). Kita tetap bersama rakan kita GRS,” katanya kepada pemberita dalam program santai bersama media dan calon GRS Parlimen Tawau Lo Su Fui di sini hari ini.

Ronald mempertahankan kerusi Parlimen Beluran yang disandangnya lima penggal sejak 1999 atas tiket PN bertembung dengan calon BN iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat dalam saingan lima penjuru.

Bersatu merupakan parti komponen GRS di Sabah namun parti itu menjadi parti komponen PN di Semenanjung dan PAS juga merupakan parti komponen PN.

Dalam pada itu, Aliakbar meminta seluruh jentera PAS di Tawau mengundi Lo Su Fui dari Parti Bersatu Sabah (PBS) pada pilihan raya, 19 Nov ini.

“Kita di peringkat Tawau ada lebih 1,000 ahli, kita pernah tanding di Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum 2018 kita dapat lebih kurang 2,500 undi, satu undi pun sangat bermakna.

“Walaupun PAS tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi jentera kita membantu ke arah kemenangan GRS dan BN di Sabah,” katanya.

PRU15 bagi Parlimen Tawau menyaksikan persaingan enam penjuru iaitu Lo Su Fui (GRS), penyandang kerusi Datuk Christina Liew (Pakatan Harapan), Chen Ket Chuin (Warisan), Herman Amdas (Pejuang) dan dua calon Bebas Datuk Chin Chee Syn dan Mohd Salleh Bacho.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here