Shahidan kempen tamatkan riwayat politik Azlan di DUN Bintong

0
304

CALON Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, berazam memastikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, tumbang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Pada masa sama juga, bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu akan ke Bintong untuk berkempen bagi memastikan kerusi DUN Bintong tidak lagi dikuasai oleh Barisan Nasional (BN).

Shahidan berkata, dalam usahanya untuk memastikan kemenangan PN di Parlimen Arau, Shahidan juga mahu PN menguasai DUN Bintong yang sekaligus menjadi penamat karier pentadbiran kerajaan negeri bagi Azlan.

“Matlamat kita adalah untuk ‘jatuhkan’ Menteri Besar dengan dahsyatnya kerana dia melanggar keputusan UMNO Bahagian berhubung isu pemilihan calon dan saya akan ke Bintong selepas ini untuk berkempen dan menceritakan keadaan yang sebenarnya.

“Sebelum ini, UMNO Bahagian Arau dengan terang mencadangkan lima nama sebagai calon Parlimen dan DUN Arau, namun nama yang dihantar itu tidak terpilih,” katanya, lapor BH Online.

Sejak kebelakangan ini, Shahidan sering mengkritik kepimpinan Azlan yang dilihat menjadi ‘pak turut’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan mendakwa Menteri Besar itu mengamalkan sikap ‘warlord’ untuk menjatuhkannya, selain mengganggu sistem politik di negeri ini.

Pada PRU-15 ini, Shahidan yang akan mempertahankan kerusi itu untuk kali kelima akan berhadapan dengan saingan tiga penjuru menentang calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here