PAS yakin menang 36 kerusi Parlimen

0
181

PAS yakin mampu mencapai sasaran menang 36 kerusi Parlimen seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) .

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keyakinan itu susulan mendapat sokongan kuat melalui gabungan parti di bawah Perikatan Nasional (PN), selain kedudukan pihaknya sebagai sebahagian daripada kerajaan.

“Kita optimis dengan sokongan rakyat kepada PN, selain berpuas hati melihat proses berkempen, sekali gus memberi keyakinan bahawa PAS boleh memenangi lebih daripada 18 kerusi yang disandang ketika ini.

“Dahulu kita (PAS), hanyalah sebagai pembangkang sahaja yang hanya berpengaruh besar di Kelantan, namun kini sokongan dilihat lebih luas melalui gabungan di bawah PN,” katanya pada sidang media selepas melawat persiapan akhir pengoperasian solar Danau Tok Uban, hari ini lapor Berita Harian.

yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), berkata tidak timbul persoalan susulan lantikan Datuk Mumtaz Mat Nawi, sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Tumpat.

“Apabila pegawai pengurus PRU sudah menerima borang pencalonan, bermaksud beliau layak untuk bertanding walaupun memegang jawatan bergaji sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan.

“Saya sendiri masih memegang jawatan dalam KeTSA dan nasihat perundangan menunjukkan pemegang jawatan seperti kami layak untuk bertanding dalam PRU-15,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here