Orang bukan Islam jangan takut beri peluang kepada PN – Abdul Hadi

0
314

RAKYAT bukan Islam di negara ini diseru agar jangan takut untuk membuka peluang buat parti Perikatan Nasional (PN) menjadi peneraju kepimpinan kerajaan Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November kelak.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia adalah kerana biarpun baru dua tahun ditubuhkan, PN telah membuktikan ia bukan sahaja sebuah parti yang sahih bersih dan stabil, tetapi juga tidak bersifat perkauman.

“Bersih adalah kerana sepanjang pemerintahan PN sebelum ini di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, tidak pernah berlaku sebarang salah laku; manakala stabil pula kerana PN ketika itu berjaya menangani pandemik Covid-19 dan impaknya terhadap ekonomi negara,” katanya memetik laporan Harakah Daily.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Presiden PAS di Restoran Al-Badiyah, KL Traders, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Turut hadir ialah calon-calon PN di Wilayah Persekutuan dari Pas bagi Parlimen Batu, Ustaz Azhar Yahya; Wangsa Maju, Ustazah Senator Nuridah Salleh; Titiwangsa, Dr Rosni Adam; dan Lembah Pantai, Ustaz Fauzi Abu Bakar.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar beliau, Pas telah menjadi pemerintah Kelantan sebanyak kali – dari tahun 1959 hingga 1978 dan dari 1990 hingga sekarang tanpa ada sebarang kes rasuah dan salah laku.

“Begitu juga di Terengganu tiada sebarang salah laku ketika PAS menjadi pemerintah sebanyak tiga kali – dari tahun 1959 hingga 1961, 1999 hingga 2004, dan 2018 hingga sekarang.

“Sama juga ketika Pas memerintah Kedah sebanyak dua kali – dari tahun 2008 hingga 2012, dan dari 2018 hingga sekarang,” jelas beliau yang juga merupakan calon PN bagi Parlimen Marang.

Abdul Hadi turut mengimbas kembali sejarah hitam Tragedi 13 Mei di Malaysia yang berlaku di negeri-negeri yang dikuasai parti DAP pada ketika itu yang termasuklah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Di Kedah, Terengganu, Kelantan yang diperintah PAS tidak tercetus Tragedi 13 Mei 1969. Di ketiga-tiga negeri itu, dapat  disaksikan bagaimana keluarga Cina dan India boleh hidup aman dalam kampung Melayu.

“Itu memang adab yang diajar oleh Islam. Kalau kita (PN) perintah kelak, negara aman dan stabil, orang bukan Islam jangan takut, alhamdulilah. 

“Sementelah PN bukan sahaja menggabungkan Pas dan Bersatu tetapi juga parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR),” ujar beliau lagi.

Justeru, beliau menyeru rakyat berbilang kaum di negara ini untuk sama-sama bersatu padu membuat perubahan pada PRU15 kelak dengan mengundi  calon-calon dari PN.

“Beri peluang kepada kami, lihat satu penggal, apa yang kami kerajaan bersih mampu lakukan. Kalau kami buat salah, tolak kami pada PRU16.

“Biar kami tunjukkan dulu bagaimana untuk perintah negara dengan baik. Fikirkan untuk kebaikan untuk generasi masa depan, selamatkan negara daripada huru-hara dan  pelbagai penyelewengan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here