‘Dakwaan berjiwa UMNO untuk keruhkan hubungan saya dengan PAS’

0
191

CALON PN bagi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid menyifatkan dakwaan bahawa dirinya masih berjiwa UMNO hanyalah satu provokasi politik.

Rosol yang keluar UMNO untuk menyertai Bersatu pada Disember 2018 berkata, dakwaan itu sengaja dibuat bagi melemahkan keperibadiannya serta untuk mengeruhkan hubungan baiknya dengan PAS.

“Saya anggap itu adalah provokasi politik yang sengaja direka-reka untuk melemahkan keperibadian dan mengeruhkan hubungan baik saya dengan kepimpinan dan penyokong PAS,” katanya selepas menemui pengundi di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Manir, semalam lapor Malaysia Kini.

Rosol diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh yang menyatakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sementara itu adalah individu yang berjiwa Umno walaupun kini bekerjasama dengan PAS menerusi PN.

Idris turut mendakwa oleh kerana itu, PAS Hulu Terengganu berat hati untuk berkempen bagi memastikan Rosol berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Rosol berkata dia tetap menghormati Idris sebagai guru yang banyak mengajarnya dalam soal kepimpinan pemimpin dan menguruskan kerjaya di pentas politik.

“Saya tetap menghormati Idris Jusoh sebagai seorang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai politik.

“Sebelum saya berhijrah parti, saya dah maklum kepada beliau dan pada peringkat awal dia bersetuju saya berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu,” katanya lagi.

Justeru, dia kesal kerana pihak lawan menyerang peribadinya sebagai antara strategi kempen dalam PRU-15.

“Sekarang ini saya nampak pihak lawan tiada isu untuk menyerang dan melemahkan saya sama ada rasuah atau salah guna kuasa, tak bermoral atau main projek.

“Apa yang penting adalah saya berhijrah dari satu kelompok atau kenderaan yang dipimpin oleh mereka yang tidak amanah kepada satu kelompok yang lebih baik dan amanah. Jadi penghijrahan ke arah yang lebih baik itu dianjurkan oleh agama,” katanya lagi.

Rosol mula menjadi wakil rakyat sebagai Adun Ajil pada 1999. Dia memegang kerusi itu sehingga 2013.

Dia menang di kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU lalu dengan majoriti 2,868 undi, menewaskan Muhyiddin abdul Rashid dari PAS dan Razali Idris dari PH.

Mengulas mengenai perkembangan kempen, Rosol berkata dia sudah menemui 50 peratus pengundi di empat kawasan DUN dalam Parlimen Hulu Terengganu meliputi Ajil, Kuala Berang, Manir dan Telemong.

“Alhamdulillah, sepanjang saya turun berkempen termasuk ke lubuk Umno sokongan amat kuat dan saya lihat mereka bersama dengan saya, insya-Allah.

“Saya nampak akar umbi menyokong kesepaduan dan menunjukkan kebersamaan yang jitu terhadap PN dan ini penting kepada kita untuk hadapi PRU-15,” katanya sambil menjelaskan kebanyakannya mengharapkan perpaduan dalam kalangan parti berteraskan Melayu.

Berkenaan pengundi muda pula, dia berkata faktor membanteras rasuah dan mewujudkan kerajaan yang bersih dan stabil penting di mata mereka.

“Bagi mereka itu (rasuah) perlu dihentikan segera dengan menolak parti yang bersahabat atau bersama dengan mereka yang tidak amanah dan mereka yakin negara akan lebih berjaya dengan pimpinan parti yang prihatin, bersih dan stabil,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here