Beri PN peluang, tolak kami jika gagal – Abdul Hadi

0
299

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta pengundi memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) menerajui kepemimpinan negara untuk tempoh satu penggal.

Timbalan Pengerusi PN itu menegaskan jika gabungan berkenaan gagal membuktikan kemampuan mentadbir negara dengan baik, rakyat boleh menolak mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Beri peluang kepada kami, tengok satu penggal apa yang kami buat. Kalau ada buat kesalahan, tolaklah pada PRU16.

“Beri kita tunjukkan dulu bagaimana untuk perintah negara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PAS di sini, hari ini.

Yang turut hadir, tiga calon PAS mewakili PN, iaitu calon kerusi Parlimen Wangsa Maju, Nuridah Mohd Salleh, Azhar Yahya (Batu) dan Fauzi Abu Bakar (Lembah Pantai).

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu turut optimis PN mampu menawan Perlis dan Pahang pada PRU15 terutama dengan penyertaan calon boleh menang yang digugurkan oleh Barisan Nasional (BN).

“Apabila BN bertindak mencantas orang dia seperti (Tan Sri) Annuar Musa, (Datuk Seri Dr) Shahidan Kassim dan (Tan Sri) Noh Omar dan ramai lagi, kami ambil pendekatan ambil mana-mana yang boleh seperti Shahidan jadi calon PN di Arau (Perlis) dan (Datuk Seri) Ismail Muttalib di Maran (Pahang).

“Ini bermakna kita boleh menembusi Perlis dan Pahang… insya-Allah kita boleh tawan Perlis dan Pahang,” katanya.

Mendedahkan kemelut PAS-BN, Abdul Hadi berkata, ia tidak dapat diselamatkan berikutan parti itu tetap memaksa PAS memutuskan kerjasama dengan BERSATU.

“Mereka (BN) masih degil dan saat akhir iaitu minggu selepas Parlimen dibubarkan, PAS diajak berbincang dengan PAS diberikan syarat sama, mesti berpisah dengan BERSATU. Mana boleh dia (BN) nak paksa sebegitu.

“Disebabkan itu kami buat keputusan untuk terus bersama PN dan tolak BN,” katanya, lapor BH Online.

Menyentuh kerjasama PAS-UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi berkata, sekiranya parti itu sedia bertoleransi, kerjasama itu pastinya dapat diteruskan pada PRU15.

Katanya, ia sekali gus mampu mengelakkan perpecahan undi orang Melayu yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Mereka kata tak boleh (kerjasama) dengan BERSATU kerana mereka khianat dan keluar UMNO. Saya beritahu pemimpin UMNO, kalau ikut perbezaan pendapat, PAS lebih lama berkelahi (bermusuh) dengan UMNO, lebih puluhan tahun.

“Daripada peristiwa Memali, orang PAS ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), malah ada yang dibuang kerja serta diturunkan pangkat. Kita lupakan semua ini kerana nak satukan umat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here