Manifesto PN Pahang dilancar, tawar 12 tawaran untuk rakyat

0
255

SEBANYAK 12 tawaran ditawarkan Perikatan Nasional (PN) Pahang dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang sebahagian besar berkait dengan keperluan ekonomi rakyat negeri ini.

Bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’, manifesto itu dilancarkan Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di dataran hadapan Majlis Daerah Jerantut, Pahang.

Manifesto PN Pahang mengandungi intipati untuk mendaulatkan agama, mendukung sistem tadbir urus negeri yang bersih, berintegriti dan cekap.

Di samping itu, manifesto PN Pahang itu juga ialah menyuburkan ekonomi negeri menerusi pemerkasaan dan merakyatkan industri kecil dan sederhana, termasuk di kawasan Felda, memperkasa pemilikan rumah serta memperkemas proses libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar menerusi segmen alam sekitar lestari.

Selain itu, manifesto yang menyediakan 45 inisiatif itu termasuk perniagaan bagi membantu belia memulakan perniagaan, memperkasakan usahawan belia, memartabatkan wanita dan warga emas, bantuan perkahwinan dan pengajian buat anak Pahang, serta memperkasa pelancongan dan kebudayaan negeri.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, manifesto itu sudah cukup lengkap untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat berasaskan perubahan yang bakal dilakukan oleh PN dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan seperti pemilikan rumah dan melestari alam sekitar.

“Tawaran ini juga melibatkan hak memartabatkan belia, wanita, warga emas, peluang pendidikan anak Pahang serta memperkasakan pelancongan dan kebudayaan negeri.

“PN akan mengukuhkan ekonomi dan kebajikan rakyat negeri ini termasuk menyelesaikan masalah air dan perumahan menerusi kerangka pembangunan yang berbeza dan baharu juga tersirat dalam manifesto tersebut,” katanya.

Beliau berkata, PN tidak menjanjikan apa yang ada di langit cuma berjanji apa yang lebih praktikal di bumi yang patut dan akan dilaksanakan oleh pempimpin PN selepas memenangi PRU15 ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here