Tuan Ibrahim calon MB Pas di Pahang, wakil Pas jadi MB jika PN menang di Perlis.

0
337

Oleh RIZQI ZABIDI

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merupakan calon Menteri Besar Pahang sekiranya gabungan tersebut menang di negeri berkenaan.

Menurut Bekas Perdana Menteri itu, beliau sendiri telah memaklumkan perkara tersebut kepada Tuan Ibrahim sewaktu ke Pahang sebelum ini.

Selain itu katanya, Pas juga dijangka akan menambah bilangan Menteri Besar apabila PN dilihat berada di landasan tepat untuk merampas Perlis daripada cengkaman Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

“Gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini cukup kukuh dan saya tengok trend mutakhir ini, Perlis pun akan ‘jatuh’ kepada kita. Pas jadi Menteri Besar di Perlis dan kami akan sokong.

“Sebelum ini juga saya ada ke Pahang dan bertemu Tuan Ibrahim di sana. Saya katakan kepadanya kalau Pahang menang, ‘hang’ la jadi Menteri Besar.

“Pas akan tambah bilangan Menteri Besar dan kami dalam Bersatu ini tak kisah. Pas memimpin dan kita akan sokong sepenuhnya kerana apa yang lebih penting, PN perlu mengurus serta mentadbir negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Siri Jelajah PN Parlimen Pendang di Pusat Konvensyen Pendang (PCC), dekat Pendang, Kedah, malam tadi.

Dalam PRU kali ini, Tuan Ibrahim akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian di Kelantan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka dekat Lipis, Pahang yang merupakan kampung halamannya.

Sementara itu Muhyiddin dalam ceramah sama turut mengajak kalangan ahli UMNO yang mungkin hadir ke majlis tersebut, agar memikirkan mengenai soal menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air daripada memikirkan mengenai soal-soal lain termasuk calon Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut.

“Datanglah bersama jemaah ini untuk selamatkan negara. Tak keluar UMNO pun tak mengapa asalkan ‘pangkah PN pada 19 November nanti.

“Saya pun pernah jadi ahli UMNO tetapi sekarang dah keluar. Mereka (ahli UMNO) mungkin berat nak keluar tetapi hati kata tak suka Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid serta tak mahu Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka tak mahu terlibat dengan komponen yang melakukan kemungkaran, kesalahan, kebobrokan, rasuah dan salah guna kuasa. Kalau ‘pangkah’ kumpulan ini, kita bukan saja rugi malah saya tak tahulah apa hukumnya berbuat demikian?

“Jadi saya nak minta ahli-ahli UMNO di Pendang keluarlah mengundi beramai-ramai. Undi itu rahsia, yang tahu cuma kita serta Allah saja dan kalau mereka keluar mengundi PN, maknanya mereka dah terlibat bersama-sama kita selamatkan negara daripda terus terjerumus ke kancah agak dalam,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here