Peja usik Anwar lagi, kali ini tunjuk susur keluar ke Utara pula

0
606

CALON Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekali lagi mencuri tumpuan dengan idea kempennya yang unik dengan menggunakan mesej-mesej pada papan iklan di Parlimen Tambun.

Sebelum ini bekas Menteri Besar Perak itu menggunakan mesej ‘Never Lost In Tambun’ pada papan iklan sebagai bahan kempennya namun kini digantikan dengan mesej baharu.

Memetik laporan Malaysiakini, kata-kata tersebut boleh dikatakan merujuk kepada Ahmad Faizal tidak pernah kalah di Tambun atau tidak pernah ‘sesat’ di kawasan tersebut.

Kali ini Ahmad Faizal atau lebih dikenali dengan panggilan Peja itu tampil pula dengan mesej baharu yang dinaikkan menunjukkan susur keluar ke utara, dipercayai ditujukan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang.

Papan iklan dengan tulisan ‘Dari Tambun Susur Keluar ke Utara, 50m’ itu dipercayai dinaikkan pasukan kempen Peja, lewat malam tadi.

Sebelum ini papan tanda kempen Anwar dinaikkan dengan mesej ‘Dari Tambun untuk Malaysia’ di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian, semalam.

Sehari selepas Anwar mengumumkan akan bertanding di situ, beliau mengalu-alukan kehadiran Presiden PKR itu dengan papan iklan yang menunjukkan sebutan yang tepat bagi air dalam loghat Perak yang dinaikkan di Komplek Lai Chee, di Tambun.

Papan iklan dengan wajah Ahmad Faizal itu turut diiringi mesej berbunyi, ‘ayor bukan ayaq’.

Malah Menteri Belia dan Sukan sementara ini juga tampil dalam video pendek yang dimuat naik di Facebook, Faizal secara sinis mengusik Anwar dengan berkata:

“Hai Assalamualaikum.

“Bagi mereka yang nak berhijrah daripada tempat lain, dari satu tempat ke satu tempat, dan nak datang ke Tambun, saya nak beritahu sikit.

“Di Tambun kita sebut ayor. Dengar betul-betul, ayor, bukan ayaq.

“OK terima kasih. Selamat datang,” katanya.

Untuk rekod, Anwar berasal dari Pulau Pinang dan sebelum ini bertanding di Permatang Pauh sebelum menukar kerusinya di Port Dickson.

Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Anwar membuat keputusan untuk lari dari kerusi Parlimen Port Dickson.

Ayor ialah loghat bagi perkataan air di beberapa tempat di Perak.

Pada PRU kali ini, selain Ahmad Faizal dan Anwar, turut bertanding adalah Aminuddin Md. Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Tambun pernah menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi berjaya dirampas Ahmad Faizal pada 2018. Bagaimapun kemenangan Bersatu ketika itu menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH).

Pada 2013, BN menang kerusi itu dengan 42,093 undi atau 56.2 peratus manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh 32,768 undi (43.8 peratus).

Pada 2018 terdapat tambahan 12,089 undi di Tambun. Sokongan BN merosot kepada 33,341 (38.3 peratus).

Sebagai perbandingan, Bersatu ketika bertanding atas tiket PH, memperoleh 38,661 undi (44.5 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here