Kedudukan Shahidan, Ismail dalam PN belum diketahui

0
258

KEDUDUKAN Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib selepas pilihan raya sama ada bakal menganggotai mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) masih belum diketahui, biarpun kedua-dua bekas pemimpin UMNO itu kini bertanding atas tiket gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata beliau perlu merujuk terlebih dahulu perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenainya.

“Saya nak kena rujuk. Benar dan jelas kedua-dua mereka bertanding atas tiket PN. Apa perkara selain itu saya kena rujuk. Saya tidak akan mengulas perkara yang saya tiada perinciannya,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kedudukan Shahidan dan Ismail dalam PN atau BERSATU, hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya sama ada Shahidan dan Ismail akan menyertai PN atau sebaliknya selepas kedua-dua pemimpin berkenaan membuat keputusan bertanding dengan menggunakan tiket parti lawan.

BH semalam melaporkan, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau, dan Ismail di kerusi Parlimen Maran, layak bertanding pada PRU-15 mempertahankan kerusi masing-masing dengan menggunakan tiket PN.

Seorang lagi bekas pemimpin UMNO yang tidak terpilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15, iaitu penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun bertanding mempertahankan kerusi berkenaan serta merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk ketiga-tiga mereka dipecat serta merta kerana parti mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli yang bertanding atas tiket selain parti termasuk yang menjadi pencadang dan penyokong calon yang mewakili pembangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here