OPR: Harga barang dijangka naik – DPMM

0
328

HARGA barang dijangka meningkat kesan daripada kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, syarikat yang terjejas dengan kenaikan kadar faedah oleh pihak bank secara semulajadi  akan menaikan sedikit harga jualan barangan di pasaran.

Ujarnya, kenaikan OPR bukan sahaja memberi kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), tetapi kepada semua industri yang mempunyai hutang dengan pihak bank.

“Semua industri yang mempunyai pinjaman dengan bank akan terjejas dan mereka secara semula jadi akan menaikkan sedikit harga jualan di pasaran.

“Ini akan menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi kepada pengguna dan seterusnya menaikkan inflasi dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga barang dan inflasi ini sudah tentu akan menyebabkan golongan B40 dan M40 kekurangan duit untuk berbelanja.

Menurutnya, perkara tersebut mendorong golongan tersebut untuk mengutamakan perbelanjaan yang perlu sahaja untuk mengisi perut dan tidak berbelanja barangan yang bukan berkaitan makanan dan keperluan asas.

“Jadi, ini akan menyebabkan ekonomi akan terus merudum kerana permintaan terhadap barang-barang lain akan berkurangan,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya tidak terkejut dengan kenaikan OPR itu kerana telah menjangka ia akan dinaikan dalam masa terdekat sehinggalah kepada 3.0 peratus.

Jelasnya, tindakan tersebut adalah selaras dengan apa yang dilakukan Amerika Syarikat yang akan menaikan kadar faedah sehingga 4.9 peratus

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here