Syed Saddiq pertahan kerusi Parlimen Muar

0
195

SYED Saddiq Abdul Rahman disahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya di Johor malam ini.

Pengumuman itu sekaligus menamatkan spekulasi di mana Syed Saddiq akan bertanding selepas didakwa akan bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri yang sebelum ini disandang oleh Lim Kit Siang.

Bagaimanapun isu itu berakhir apabila DAP mengumumkan Liew Chin Tong akan bertanding di kerusi berkenaan yang dianggap kerusi selamat untuk Syed Saddiq.

Beliau akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Helmy Abd Latif dan Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin.

Syed Saddiq memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 6,953 undi.

Minggu lalu, parti itu mengumumkan tiga calon yang akan bertanding di kubu kuat BN, iaitu Danial Abd Majeed (Kepala Batas), Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai).

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq membela diri terhadap pertuduhan pindaan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid turut memerintahkan beliau membela diri terhadap pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Syed Saddiq, 29, juga diarah membela diri terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan wang masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Azhar memutuskan demikian terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan bekas Ketua Armada, Parti itu membela diri bermula 22 Februari tahun depan.

Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here