Exco Kedah bertanding Parlimen tak perlu letak jawatan

0
190

Oleh BADLISHAH MAT

TIGA Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kedah yang sudah dinamakan sebagai calon Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak perlu meletak jawatan yang disandang mereka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu termaktub dalam perintah daripada Peguam Negara yang membenarkan setiap Exco bertanding dan pada masa sama melaksanakan portfolio masing-masing ketika pilihan raya itu.

“Ada perintah daripada pejabat Peguam Negara, Exco yang nak bertanding PRU (bagi kerusi) Parlimen tak perlu melepaskan jawatan mereka.

“(Tetapi) terdapat Exco yang meletak jawatan sebelum ini, maka penggantian akan dilakukan selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Perikatan Nasional (PN) menamakan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi Kedah, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail sebagai calon Parlimen Kubang Pasu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Datuk Azman Nasrudin akan bertanding di Parlimen Padang Serai.

Di Sungai Petani, PN meletakkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr. Robert Ling Kui Ee.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang daripada UMNO, Datuk Suraya Yaacob meletak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan Saliran Kedah pada 13 Oktober lalu.

Kelmarin, nama Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pendang pada PRU-15.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, nama ADUN yang bakal menggantikan tempat Suraya sebagai Exco sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Nama sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah dan perlu perkenan baginda, tarikh (angkat sumpah) belum ada lagi tetapi proses itu sedang berjalan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here