Kajian Invoke dakwa PH sudah kuasai 100 kerusi Parlimen – Anwar

0
202

KAJIAN terkini Pusat Inisiatif Dasar Invoke (Invoke) mendapati Pakatan Harapan (PH) telah menguasai 100 kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa demikian berkata, parti itu perlu berusaha lebih lagi untuk menguasai sekurang-kurangnya 12 Parlimen untuk membolehkan PH menjadi kerajaan semula.

Beliau yang juga calon PH bagi Parlimen Tambun serta bakal Perdana Menteri ke-10 jika PH menang berkata, kajian terakhir Invoke yang diumumkan hari ini kita sudah capai 100 kerusi.

“Kita perlu usaha sedikit lagi untuk dapat 12 kerusi dan kita akan menang. Insya-Allah,” katanya dalam ceramah Jelajah Mega Harapan Perak di Ipoh, malam tadi, lapor MalaysiaGazette.

Sementara itu Anwar meminta pengundi Parlimen Tambun untuk memberi beliau peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu dan berjanji akan mengubah Tambun menjadi tarikan utama pelancongan.

Penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata, Tambun mempunyai banyak destinasi menarik yang boleh mengamit pelancong luar.

“Tambun ini, saya minta maaf tak tengok dengan teliti tapi dalam bulan ini saya pergi tempat-tempat pelancongan. Saya kata ‘eh, luar biasa potensi dan cantiknya pusat pelancongan di Tambun ini.

“Dan beri saya peluang, saya akan usahakan agenda dan Tambun akan jadi tarikan utama pelancongan,” kata Anwar.

Anwar berkata, pengundi perlu melihat rekod beliau semasa menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.

Banyak yang telah dilakukan kepada penduduk di kawasan itu sepanjang menjadi wakil rakyat di Port Dickson.

“Orang kata Tambun macam mana? Saudara kena tengok rekod. Bantuan rakyat, tandas sekolah-sekolah di seluruh Port Dickson kita baiki. Sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil kita bantu. Takkanlah sekolah kebangsaan tandas mesti baik. Sekolah Tamil tak apa tepi parit cukup.

“Dua minggu sekali pasukan peguam beri nasihat percuma kerana ada orang miskin ada masalah yang nak cari peguam tak ada wang. Sebulan sekali datang rombongan pakar perubatan. Saya boleh ‘replicate’, insya-Allah. Menang 20 haribulan beri saya masa seminggu, sebulan kita mulakan program ini di Tambun,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata, hubungannya dengan pemimpin dunia akan memberi banyak kelebihan kepada Malaysia jika beliau dipilih pada PRU-15.

Dalam ucapannya Anwar memberitahu walaupun dia hanya ahli Parlimen namun pemimpin seperti Perdana Menteri India, Narendra Modi , Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mahu bertemu dengannya.

“Saya pergi bukan mewakili kerajaan pada masa itu, saya ahli Parlimen. Jumpa empat mata. Mereka hantar pegawai bincang satu persatu.

“Maknanya dunia boleh beri pengiktirafan. Kita ada peluang itu,” kata Anwar lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here