Calon PKR Parlimen Gombak bukan nama besar didakwa, hanya ‘proksi perang’

0
244

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan calon PKR yang diletakkan di kawasan Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini, hanyalah ‘perang proksi’.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut mempersoalkan mengapa beberapa nama besar yang sebelum ini disebut-sebut mengintai kerusi Parlimen Gombak pada PRU-15, akhirnya tidak bertanding di kawasan itu.

Azmin yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak berkata, beliau terbuka menerima sesiapa saja bertanding atas faktor demokrasi.

“Saya sendiri tidak faham kenapa ramai berminat bertanding di Gombak hingga ada nama-nama besar mengintai untuk memecah perpaduan rakyat di sini.

“Sesiapa saja boleh datang, nak hantar anak, isteri tetapi pada akhirnya dia bertanding di Perak.

“Apabila tahu siapa calon (pengumuman PKR malam tadi), dia itu tidaklah sebesar mana, masuk ke Gombak kerana dipaksa jadi ‘proksi war’,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) bahagian Gombak di Padang Taman Pinggiran Batu Caves malam tadi.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Yang Dipertua PAS Gombak, Salehuddin Nasir dan Setiausaha Badan Perhubungan PN Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

‘Perang proksi’ adalah pertempuran yang dicetuskan oleh kuasa besar atau nama besar yang tidak terlibat, tetapi menggunakan pihak lain untuk berada di hadapan mewakili mereka.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Aminudin Shari diumumkan PKR akan bertanding di kerusi Parlimen Gombak.

Azmin pada masa sama menyindir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung proses pemilihan calon yang akan bertanding untuk parti itu pada PRU-15.

“Hari ini saya tengok dia (Anwar) buat kenyataan, saya gugurkan beberapa ahli Parlimen Keadilan kerana mereka sudah lama, kita nak cari muka-muka baharu.

“Eh yang isteri kau.Yang anak engkau,” katanya.

Semalam, Anwar menyifatkan proses pemilihan calon yang akan bertanding untuk parti itu pada PRU-15 sebagai satu tugasan sukar kerana terpaksa menggugurkan beberapa ‘pejuang’ lama yang telah berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, keputusan menggugurkan mereka terpaksa dibuat kerana mahukan ada peralihan kuasa dalam kalangan individu yang menjadi calon parti.

Azmin dalam pada itu berkata, beliau tidak peduli dituduh pengkhianat, sebaliknya kata beliau dua ‘langkah’ lain iaitu ‘Langkah Kajang’ dan Langkah Port Dickson’ adalah pengkhianatan sebenar terhadap rakyat.

Katanya, kegagalan kedua-dua langkah itu adalah kerana Allah tidak reda dengan tindakan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa pengundi Gombak tidak lupa tarikh keramat 19 November iaitu hari pengundian PRU-15.

“Tarikh itu sangat penting kerana rakyat berada di persimpangan jalan menentukan kerajaan baharu, membuat keputusan besar yang membentuk kerajaan.

“Ia bukan saja pilih pemimpin, tetapi kita mahu memilih kepemimpinan. Rakyat tidak boleh lagi ditipu Barisan Nasional (BN) yang memimpin negara lebih enam dekad dan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya rakyat mahu menguji pemimpin adalah pada waktu ketika berlaku krisis.

“Sebab itu kami di PN menolak PRU15 diadakan kerana paling utama negara sedang dalam pemulihan.

“Namun, disebabkan ketamakan politik, rakyat terpaksa memilih dan perlukah memilih kerajaan yang tergesa-gesa, perlu pandangan orang lain untuk membuat keputusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here