PRU-15: PH Selangor sukar tawan kawasan luar bandar

0
180

BUKAN mudah untuk Pakatan Harapan (PH) menawan kerusi Parlimen kawasan luar bandar di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata penganalisis yang melihat pengundi di kerusi itu cenderung untuk memihak kepada Barisan Nasional (BN) atau Pas.

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata PH, yang kini menyandang 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, akan memberikan tumpuan kepada kawasan luar bandar seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam bagi memastikan calon parti itu menang pada PRU-15.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kawasan luar bandar di Selangor yang majoriti penduduknya Melayu kebiasaannya adalah kubu kuat Umno atau Pas.

Beliau berkata, PH mungkin akan menggunakan strategi untuk meraih undi popular dengan meletakkan ‘nama-nama besar’ di kerusi berkenaan bagi meningkatkan sokongan pengundi luar bandar.

Penganalisis politik Pensyarah Kanan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub turut senada dengan Noor Nirwandy yang melihat masih sukar untuk PH menawan kerusi Parlimen seperti Sabak Bernam dan sekitarnya yang majoriti dihuni penduduk Melayu.

“Ini kerana kawasan berkenaan adalah deposit tetap undi BN atau Umno, dengan parti itu dapat mengekalkan kemenangan walaupun ketika gelombang PRU-14 lalu, dan ketika ini gelombang itu sudah tiada dan tiada isu besar untuk dibawa PH bagi menawan kawasan luar bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sekalipun PH meletakkan calon Melayu di kerusi berkenaan, namun lambang PH yang digunakan tidak mampu menjadi ‘batu loncatan’ untuk memenangi hati penduduk di kawasan itu, katanya.

Penganalisis politik Dr Azmi Hassan berkata, pengundi di luar bandar terutamanya Melayu dilihat tetap mempunyai persepsi negatif terhadap calon PH terutamanya berkait dengan parti DAP.

Amirudin sebelum ini mengumumkan PH Selangor akan meletakkan calon PKR di kerusi Parlimen Sungai Besar dan Amanah di kerusi Parlimen Sabak Bernam.

Kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi Umno pada PRU-14 bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh mengumumkan keluar daripada Umno untuk menyertai Bersatu, manakala penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar adalah Datuk Muslimin Yahaya adalah daripada Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here