PN muktamad pembahagian kerusi di Semenanjung-Muhyiddin

0
238

PERIKATAN Nasional (PN) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi antara gabungan itu di Semenanjung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu berkata, satu tarikh akan ditetapkan bagi setiap PN negeri untuk mengumumkan calon yang bertanding dalam PRU-15.

“Kita akan tetapkan tarikh untuk setiap PN negeri mengumumkan bukan sahaja kerusi tetapi calon-calon yang kita telah putuskan.

“Semuanya atas nama PN dan kita telah buat peraturan setiap kawasan-kawasan itu bilik operasi semuanya atas satu bumbung PN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Presiden PN di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU-15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 5 November.

Tambah Muhyiddin, pihaknya juga akan mengeluarkan satu arahan agar semua parti dalam gabungan PN untuk saling membantu dalam PRU15.

“Kalaupun calon di situ adalah Bersatu, maka Pas dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) akan membantu.

“Ini untuk memperkukuhkan langkah-langkah dan menentukan jentera kita mantap ikut kawasan masing-masing. Itu yang telah kita muktamadkan tadi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Bekas Ahli Parlimen Pagoh itu dalam masa sama turut melahirkan kesyukuran bahawa tidak ada perkara yang luar biasa berlaku dalam perbincangan pembahagian kerusi.

“Saya rasa bersyukur kerana tidak ada satu perkara yang agak luar biasa berlaku, semua atas semangat setia kawan dalam PN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here